JOHOR BAHRU - Seramai empat petugas media disahkan positif Covid-19 selepas terlibat dalam membuat liputan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sejak awal bulan ini.
Selain itu, lima lagi petugas media juga turut diarahkan menjalani kuarantin kendiri di kediaman mereka kerana disyaki kontak rapat.
Presiden Kelab Media Johor (KMJ), Mohamad Fauzi Ishak berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai perkara itu pada Jumaat melibatkan petugas media daripada beberapa agensi berbeza.
"Setakat ini, mereka yang dijangkiti adalah tiga lelaki dan seorang perempuan. Untuk itu, kita ingin menasihatkan ahli-ahli yang membuat liputan PRN ini sering melakukan saringan kesihatan sekiranya mempunyai gejala.
"Jika tidak sihat, dinasihatkan ahli kelab untuk berehat dan melakukan ujian saringan kendiri, sekiranya diyakini baru mula bertugas,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.
Mohd Fauzi berkata, KMJ juga akan mula mengedarkan kit ujian kendiri Rapid Antigen (RTK-Ag) secara percuma kepada petugas media Johor yang ditugaskan membuat liputan PRN Johor.
"Ia akan diedarkan sebelum hari penamaan calon bagi membolehkan petugas media bersedia dan membuat ujian kendiri sebelum keluar bertugas.
"Kita akan meminta ahli kelab serta petugas media untuk membuat ujian RTK ini tiga hari sebelum proses penamaan calon, kita tidak mahu berlaku perkara tidak diingini kerana proses penamaan kebiasaannya melibatkan jumlah khalayak ramai,” katanya.