137 kampung tersenarai dalam program KPLB

Iklan
Mahadzir menguji jentera sebagai simbolik penyerahan jentera tani Koperasi Desa Cemerlang Air Melintas Besar, Kepala Batas Berhad pada Jumaat.
KEPALA BATAS- Program Desa Lestari yang merupakan inisiatif Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah melonjakkan pengupayaan komuniti dalam merancang serta menjayakan pelaksanaan projek pembangunan di kampung sejak diperkenalkan pada 2013.

Sebanyak 137 buah kampung di seluruh negara tersenarai dalam program itu sehingga kini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, program tersebut juga untuk memperkasakan aktiviti ekonomi dan keusahawanan penduduk kampung melalui koperasi dengan membuka peluang pekerjaan baharu serta peluang untuk meningkatkan pendapatan penduduk.

Iklan
Iklan

"Ia secara tidak langsung akan memajukan kampung yang menyertai program ini selain mengubah cara ke arah penggunaan teknologi digital dan kaedah yang lebih moden dan terkini dalam aktiviti ekonomi," katanya selepas Majlis Penyerahan Jentera Tani Program Desa Lestari kepada Koperasi Desa Cemerlang Air Melintas Besar, Kepala Batas Berhad pada Jumaat.

Tambahnya, di Pulau Pinang, sebanyak sembilan buah kampung telah menerima geran bantuan di bawah program berkenaan dengan nilai RM7.03 juta sehingga 2020.

Iklan

"Kampung Air Melintas Besar di Kepala Batas ini telah dipilih sebagai salah sebuah kampung Desa Lestari bagi menjalankan Projek Pertanian dengan jumlah geran yang telah diperuntukkan sebanyak RM752,300.

"Kampung yang terpilih di bawah Program Desa Lestari akan menerima geran peruntukan bantuan pelaksanaan projek-projek ekonomi komuniti yang disalur melalui platform koperasi komuniti," katanya.

Iklan

Mahdzir berkata, geran bantuan projek meliputi enam sektor utama ekonomi iaitu pertanian; penternakan; pelancongan; perkhidmatan, pembuatan dan peruncitan.

"Saya berharap selepas ini lebih banyak kampung-kampung lain berusaha untuk menyertai program Desa Lestari ini dalam usaha membangunkan masyarakat di luar bandar seiring dengan perubahan zaman dan landskap ekonomi dunia," katanya.