Melaka di tangga ketujuh kemasukan pelaburan

Iklan
Adly Zahari

MELAKA TENGAH - Melaka mencatatkan kedudukan tujuh tertinggi oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menerusi RM3.25 bilion pelaburan di negara ini tahun lalu.

Ketua Menterinya, Adly Zahari berkata, daripada jumlah itu RM2,479.3 juta adalah pelaburan tempatan manakala baki RM773.1 juta adalah pelaburan asing.

Iklan
Iklan

"Kerajaan negeri akan terus mempromosi Melaka sebagai destinasi pelaburan terunggul di rantau ini dengan menyasarkan nilai pelaburan RM5 bilion setiap tahun.

"Sasaran kluster industri tertumpu kepada sektor teknologi tinggi, produk halal, automotif, teknologi diperbaharui, elektrik dan elektronik serta aeroangkasa dalam usaha menarik pelabur negara seperti Jepun, Korea, China, US, Jerman dan Singapura sekali gus melahirkan Melaka sebagai hub industri berteknologi tinggi yang kompetitif.

Iklan

Menurutnya, dalam masa yang sama, dua buah syarikat menunjukkan minat untuk melabur di negeri ini, melibatkan Syarikat Rei Holding Incorporated dengan nilai pelaburan RM1.6 bilion bagi industri hospital kosmetik dan Syarikat IG Petrochemical dengan nilai RM525 juta dalam industri berasaskan produk petroleum, namun ia belum dimuktamadkan oleh MIDA.

"Pertambahan nilai pelaburan akan menjadi indikator kepada kemakmuran perkembangan sektor perindustrian yang akan memberi impak positif dari segi pertambahan peluang pekerjaan, meningkatkan rantaian ekonomi penduduk setempat, pembangunan pesat pekan-pekan kecil serta merancakkan semula pembangunan sedia ada di kawasan terpencil.

Iklan

"Kerajaan negeri juga akan melaksanakan pembangunan di kawasan elit atau kawasan perindustrian untuk memberi rangsangan berbentuk galakan kepada pelabur, seterusnya meningkatkan nilai pelaburan menerusi industri sedia ada untuk dikembangkan dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi usul penggulungan ucapan terima kasih kepada Yang Dipertua negeri, Tun Dr. Mohd Khalil Yaakob sempena Persidangan Penggal Kedua DUN Melaka Ke-14, di Ayer Keroh di sini, hari ini.

Adly (Amanah-Bukit Baru) berkata, ekonomi negeri dijangka kekal dalam landasan pertumbuhan yang sederhana pada tahun ini berkembang pada kadar 4.5 peratus hingga 5.5 peratus dengan meletakkan sektor perkhidmatan menjadi penyumbang utama sebanyak 44.8 peratus, diikuti sektor pembuatan 40.1 peratus.

Menurutnya, kadar inflasi berada pada tahap 4.1 peratus manakala pengangguran negeri merekodkan hanya 1 peratus berbanding 3.4 peratus di peringkat nasional dengan meletakkan harapan baharu bahawa sektor pelaburan bakal merancakkan ekonomi negeri.

"Tiga pelaburan yang berpotensi seperti Pelaburan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP), Pelaburan Tanjung Beruas dan Pelabuhan Melaka Gateway yang dilihat mampu merubah hala tuju ekonomi Melaka daripada ekonomi hujung minggu kepada ekonomi harian.

"Ia juga akan menyediakan lebih 10,00 peluang pekerjaan dengan adanya industri hiliran serta berupaya meningkatkan hasil pendapatan negeri untuk menjadikan Melaka lebih berdaya saing di antara negeri-negeri lain di negara ini," katanya.