Covid-19: PM ulang pendirian untuk tidak laksanakan PKP, darurat

Iklan
Ismail Sabri pada sidang media selepas majlis bersama jentera Barisan Nasional Parlimen Ledang di Dewan Putra Padang Lerek, Tangkak hari ini. -Foto Bernama

TANGKAK - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengulangi pendirian kerajaan untuk tidak kembali melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mahupun darurat walaupun kes Covid-19 dilihat kembali meningkat.

Beliau berkata rakyat kini perlu hidup dengan Covid-19 dan menganggapnya sebagai endemik sebagaimana penyakit-penyakit mudah berjangkit yang lain.

Iklan
Iklan

"Kementerian Kesihatan, saya sendiri pun mengatakan bahawa kita terpaksa (hidup) bersama Covid-19. Covid-19 ini dianggap endemik seperti penyakit-penyakit lain, seperti demam selesema, denggi dan sebagainya yang mana kita perlu meneruskan kehidupan, tetapi kita kena kawal dari segi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan sebagainya," katanya.

Ismail Sabri, yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Jentera Barisan Nasional (BN) Parlimen Ledang di Dewan Putra Padang Lerek di sini hari ini.

Iklan

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor yang juga Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad dan Ketua UMNO bahagian Ledang Datuk Hamim Samuri.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata sekatan pergerakan dan penutupan sektor ekonomi akan kembali membebankan rakyat, yang baharu kembali memulakan penghidupan mereka.

Iklan

"Ekonomi juga kita dah buka, tak mungkin kita akan tutup balik ekonomi. Kita tahu betapa sukarnya kehidupan rakyat apabila PKP dilaksanakan, dan kita dah buka (sektor ekonomi) Mereka yang nak berniaga, baharu nak mulakan perniagaan, tiba-tiba kita tutup. Nanti kalau tutup semula, habis... mereka akan tutup selama-lamanya.

"Begitu juga pergerakan. Kita dah benarkan pergerakan daerah, negeri... cuma sempadan sahaja kita tak buka lagi sebab kes yang tinggi di luar negara, dan mereka (negara lain) pun tak menerima kedatangan kita ke negara mereka," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan kerajaan di sesebuah lokaliti jika kes Covid-19 meningkat.

"Tak mungkin ada ‘lockdown’ (sekatan penuh secara besar-besaran) tetapi saya kata bersasar, mungkin. Katakan di Kampung Rawang (di Ledang), tiba-tiba di situ kes meningkat dengan tinggi, jadi kita ‘lockdown’ di kampung. Kita buat bersasar, jadi tempat lain di Ledang tak payah tutuplah,” katanya.

"PKPD kalau kes memuncak dengan tinggi dan tertakluk dengan nasihat Kementerian Kesihatan. Kita hanya (laksanakan PKPD) di kampung situ, ataupun kalau flat, seluruh flat... kita tak mahu menjejaskan ekonomi dan pergerakan rakyat," katanya.

Mengulas mengenai Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang menggesa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ditangguhkan berikutan peningkatan kes Covid-19 sejak akhir-akhir ini, Ismail sabri berkata hanya darurat yang boleh menangguhkan pilihan raya itu.

Beliau berkata bagaimanapun perkara itu (darurat) tidak akan dilakukan kerajaan kerana kes meningkat di seluruh negara, dan tidak hanya berlaku di Johor semata-mata.

"Kalau nak ditangguhkan, hanya dengan cara mengumumkan darurat di seluruh negeri Johor. Jadi saya percaya perkara ini tak akan berlaku sebab sebelum ini pun waktu (PRN) di Melaka, kes pun ada. Jadi tidak ada sebab untuk isytihar darurat di Johor," katanya.

Semalam, Majlis Presiden PH menggesa kerajaan menangguhkan PRN Johor atau membenarkan parti yang bertanding untuk berkempen secara terbuka. - Bernama