Akar umbi PKR terkesan tindak-tanduk Muda

Iklan
Omar Mokhtar

SHAH ALAM – Angkatan Muda Keadilan (AMK) tidak menafikan bahawa sentimen di peringkat akar umbi parti itu terkesan dengan tindak-tanduk yang dilakukan oleh Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sejak kebelakangan ini.

Exco AMK Johor, Omar Mokhtar A Manap berkata, mereka turut kecewa dengan apa yang dipertontonkan oleh parti pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terhadap Pakatan Harapan (PH) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Iklan
Iklan

"Namun begitu, ia tidak boleh kita ketepikan sebegitu rupa kerana kita ada satu agenda yang jauh lebih besar. Kita nak bantu rakyat Johor, nak buat reformasi dan nak mengetengahkan politik nilai. Ini yang perlu kita beri keutamaan.

"Betul, apa yang berlaku kepada Muda itu terkesan. Tetapi saya melihat umpama ribut dalam cawan yang perlu kita uruskan dengan cara berkawan, bersahabat, berbincang dan berdiskusi,” katanya pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata demikian pada program Sinar Live bertajuk ‘Anak Muda Kingmaker PRN Johor?’ yang dihoskan oleh Hazwan Mokhtar dan disiarkan di semua platform Sinar Harian.

Pada Rabu, tular di media sosial menerusi hantaran Muda Kedah tentang poster bertulis ‘Hentikan Korupsi’ membabitkan empat parti iaitu Barisan Nasional (BN), PH, PKR dan Perikatan Nasional (PN).

Iklan

Sebelum itu, Syed Saddiq juga memohon maaf atas kekhilafan beliau merendahkan tugas dan tanggungjawab Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR di laman sosialnya.

Turut menambah rasa luka dalam kalangan ahli PKR apabila PH melepaskan kerusi Puteri Wangsa kepada Muda.

Dalam pada itu, Omar Mokhtar berpandangan adalah penting PH memainkan peranan dalam mencari keserasian dan kerjasama bersama Muda pada masa ini iaitu sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Saya kira satu ruang yang agak baik untuk kita teroka sekarang sebelum bergelut pada PRU15 nanti.

"Lebih baik kita tahu sekarang ke mana hala tuju, apa anjakan dan pembacaan politik itu supaya ia dapat dijadikan asas untuk mendepani PRU15 nanti,” jelasnya.