UMNO tidak boleh lagi jadi 'parti tempelan'

Iklan
Mahdzir

SUNGAI PETANI - UMNO tidak boleh lagi menjadi sebuah 'parti tempelan', sebaliknya perlu menjadi parti dominan yang memiliki kuasa menerusi kemenangan majoriti dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, apabila UMNO berkuasa, barulah suara parti itu dapat didengari dan bertindak, selain dapat mengelak pertelingkahan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sehubungan itu, ahli UMNO perlu mengambil pengajaran terhadap kejatuhan Parti Golkar di Indonesia yang kini menjadi parti tempelan selepas tewas dalam pilihan raya pada tahun 1998.

"Apabila kita ada kuasa, kita boleh bercakap kepada orang, kalau tidak kita hanya sembang sahaja, akhirnya kita bergaduh sesama kita.

Iklan

"UMNO mesti jadi parti dominan dan boleh menang dalam pilihan raya, tiada guna kalau kita tidak menang, kita tidak menjadi kerajaan, kita hanya jadi parti tempel-tempelan," katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Bengkel Pengukuhan Kepimpinan dan Jentera Jalinan Rakyat (JR) Wanita UMNO Kedah, di sini pada Jumaat.

Jelas Mahdzir, Golkar tersungkur lebih awal daripada UMNO, dan telah bertanding lima kali dalam pilihan raya Indonesia sejak itu.

Iklan

"Pemimpin Golkar pernah jadi Presiden Indonesia, iaitu Bung Karno, Suharto dan Habibi.

"Selepas itu presiden yang diangkat bukan lagi dari Golkar termasuk Jokowi yang merupakan Presiden Indonesia sekarang dari Parti PDI-Perjuangan," katanya.

Menurutnya, kejatuhan Golkar yang seusia dengan UMNO, menyebabkan Golkar kini menjadi parti tempel-tempelan.

"Sekarang Golkar telah menjadi parti peminta sedekah kepada kerajaan yang ada," katanya lagi.

Tambah Mahdzir, bagi mengelak UMNO menerima nasib sama seperti Golkar, UMNO perlu senada di semua peringkat untuk mencapai optik kemenangan pada PRU15 tanpa dimomokkan dengan dakwaan wujudnya beberapa puak di peringkat kepimpinan tertinggi parti itu.

"Saya duduk bersama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Presiden), saya duduk dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Perdana Menteri), Datuk Mohamad Hassan serta Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, kami duduk lima orang, kita tak nak pun timbul soal nak pecah-belahkan UMNO.

"Orang lain di luar sana seronok kalau boleh pecah-belahkan UMNO ini, puak ini satu kumpulan, puak itu satu kumpulan, mereka boleh cari makan kalau berpecah belah, sebab itu saya katakan pilihan raya lepas ini kita kena ada satu kumpulan sahaja, namanya UMNO," ujarnya.

Sebelum ini kata Mahdzir, ramai beranggapan bahawa UMNO akan kekal menjadi pembangkang sehingga 2023 selepas tewas pada PRU14 dan akan berdepan PRU15 sebagai pembangkang.

"Takdir ALLAH SWT telah mengubah senario politik negara sehingga membolehkan UMNO kembali berkuasa dan bakal berdepan PRU15 bukan sebagai pembangkang," katanya.

Justeru tegas Mahdzir, UMNO tidak boleh bermegah-megah dan sombong dengan kuasa yang dipegang kini kerana bukan dengan angka majoriti.

"Kita kena menang pilihan raya kali ini kalau nak terus jadi kerajaan, kita kena cukup kerusi untuk bentuk kerajaan, kalau tidak cukup kerusi kita akan kembali jadi pembangkang.

"Saya harap ahli-ahli UMNO tidak hilang fokus dan terus perkuatkan parti serta menilai kemampuan parti dalam menghadapi PRU15," ujarnya lagi.