PH, PN, BN pencabar utama PRN Johor

Iklan
Hassan
JOHOR BAHRU - Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) merupakan pencabar utama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, rakyat boleh membuat penilaian kerana semua gabungan itu pernah menjadi kerajaan.

"Ketiga-tiga gabungan politik ini mempunyai pengalaman dalam mentadbir kerajaan negeri Johor. BN paling lama memerintah di Johor sehingga ia ditumbangkan pada 2018 dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

"PH pula mempunyai pengalaman mentadbir kerajaan Johor selama 22 bulan sehingga ia ditumbangkan angkara pengkhianatan melalui Langkah Sheraton pada Februari 2020.

"PN yang terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga ada pengalaman mentadbir di Johor ketika berada dalam gabungan PH dan kemudian dalam kerajaan campuran BN-PN selepas Langkah Sheraton," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Selain tiga gabungan politik tersebut, Parti Bangsa Malaysia (PBM) juga akan meletakkan calon untuk bertanding di dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan iltizam mengukuhkan aspirasi demokrasi di Johor.

Parti Warisan (Warisan) juga dijangka bertanding dan keputusan tersebut akan diumumkan pada 15 Februari ini manakala Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan memperkenal semua 42 calonnya pada 24 Februari ini.

PBM dan Warisan masih belum menyatakan untuk menyertai mana-mana gabungan manakala Pejuang sebelum ini membuat keputusan untuk bertanding secara solo dalam PRN tersebut.

Mengulas lanjut, Hassan yang juga bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor mengakui, semasa PH mentadbir Johor selama 22 bulan terdapat kelemahan dan kegagalan.

"Fakta ini tidak dinafikan malah perlu diakui. Tetapi PH berjaya dalam banyak perkara ketika mentadbir Johor kurang dua bulan selama dua tahun," katanya.

Jelasnya, satu perkara yang menjadi kejayaan utama kerajaan PH di Johor ialah menarik pelaburan asing (FDI) dengan mengadakan lawatan menarik pelaburan asing secara agresif dalam tempoh 22 bulan mereka berkuasa.

Beliau berkata, hampir setiap bulan Exco kerajaan negeri yang bertanggungjawab dalam perusahaan antarabangsa telah dihantar ke beberapa pusat ekonomi dunia untuk membawa pelaburan ke Johor.

"Hasil dari usaha yang bersungguh-sungguh itu, maka negeri Johor telah muncul sebagai negeri yang paling banyak menarik modal asing dari pertengahan 2018 sehingga awal 2020 sebelum kerajaan PH Johor ditumbangkan angkara pengkhianatan politik,

"Kejayaan ini adalah fakta, bukan retorik, bukan propaganda pilihan raya," ujarnya.