KUALA KEDAH - Ramai penumpang menjadikan perkhidmatan feri di Terminal Jeti Kuala Kedah di sini sebagai pilihan untuk ke Langkawi dalam tempoh empat hari sejak Jumaat lepas.
Ia susulan operasi feri di Terminal Jeti Kuala Perlis ke pulau lagenda itu dihentikan sementara bermula 10 hingga 13 Februari disebabkan alur pelayaran yang cetek.
Pengguna, Zainon Ahmad, 53, berkata, dia yang tinggal di Rompin, Pahang, kerap ke Pulau Langkawi untuk pelbagai tujuan termasuklah melancong bersama kenalan.
Menurut Zainon, kebiasaannya perkhidmatan feri di Kuala Perlis menjadi pilihan disebabkan tempoh masa lebih pendek sekitar 45 minit sahaja.
"Sebelum ini, saya tidak pernah menggunakan perkhidmatan feri dari Kuala Kedah ke Langkawi disebabkan tempoh masa perjalanan berkenaan dianggarkan hampir dua jam.
"Bagaimanapun, kali ini saya menggunakan perkhidmatan feri di Kuala Kedah disebabkan alur pelayaran cetek di Kuala Perlis,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Bagi penumpang, Norizan Abdul, 58, berkata, dia ada mendengar perkhidmatan feri di Kuala Perlis dihentikan sementara waktu sejak Jumaat.
Katanya, dia dan rakan-rakan yang berhasrat ke Langkawi membuat semakan perjalanan terlebih dahulu sebelum memilih trip dari Kuala Kedah.
Seorang lagi penumpang, Nik Hasni Mohd Noor, 50, berkata, dia ada melihat berita penumpang terkandas ketika ingin pulang ke Kuala Kedah beberapa hari lepas.
"Jadi, kita memilih menggunakan perkhidmatan feri di terminal ini selepas melihat ada trip ke Langkawi selepas trip di Kuala Perlis dihentikan sementara waktu,”katanya.
Sementara itu, Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom mengesahkan pemberhentian sementara perkhidmatan feri di Kuala Perlis ke Langkawi dari 10 hingga 13 Februari.
Menurutnya, operasi berkenaan dihentikan seketika bagi memberi laluan kepada kerja pengerukan yang dijalankan berhampiran Terminal Jeti Kuala Kedah.
"Trip penumpang dari Kuala Kedah ke Langkawi akan ditambah mengikut keadaan dan permintaan berikutan pemberhentian sementara operasi di Kuala Perlis," katanya.
Dalam pada itu, Penyelia Operasi Langkawi Ferry Line Sektor Kuala Kedah, Ahmad Azizan Aziz meminta penumpang merancang perjalanan mereka memandangkan situasi air pasang surut ketika ini.
Menurutnya, penumpang yang berhasrat ke Langkawi boleh mendapatkan tiket melalui kaunter tiket di Terminal Jeti Kuala Kedah ataupun aplikasi Cuti Cuti Langkawi.