Mangsa banjir lega terima bantuan tambahan

Iklan
Foto hiasan (Gambar kecil, dari kiri Nik Suhana, Saidah Ab Rani, Farihin, Mariyappan Tanjan dan Asmawi, )

SHAH ALAM - Hanya rasa bersyukur mampu diluahkan mangsa banjir di sekitar Lembah Klang apabila menerima bantuan wang tunai sebanyak RM500 daripada kerajaan Kelantan.

Asmawi Hussin, 60, berkata, bantuan yang diterima itu sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh dia dan keluarga kerana dikatakan banyak mengalami kerugian akibat banjir di Selangor, baru-baru ini.

Iklan
Iklan

"Saya sebenarnya mengalami kerosakan kereta selain daripada barang kelengkapan rumah. Justeru, dengan bantuan ini ia dapat membantu mengimbangi kerugian yang dialami lebih kurang RM4,000,” katanya.

Asmawi berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Bantuan Kebajikan Pasca Banjir 2021 kepada Anak Kelantan di Perantauan yang berlangsung di Kompleks Karangkraf di sini, pada Sabtu.

Iklan

Majlis anjuran kerajaan Kelantan itu dihadiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub dan Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.

Bagi Nik Suhana Mohamed Din, 43, pula, bantuan diperolehi itu akan digunakan untuk menggantikan beberapa barangan di rumah yang rosak akibat ditenggelami banjir selain membeli barangan persekolahan lima anaknya.

Iklan

Menurutnya, walaupun persiapan awal sudah pun dilakukan, namun peningkatan air secara mendadak menyebabkan dia dan keluarganya tidak sempat menyelamatkan beberapa barang yang ada.

"Jadi saya berasa sangat gembira dan bersyukur kerana Menteri Besar Kelantan prihatin kepada rakyatnya yang menetap di perantauan. Bantuan ini saya akan guna untuk membeli barang keperluan rumah dan juga keperluan sekolah anak-anak,” katanya.

Sementara itu, Saidah Ab Rani, 54, yang menetap di Kampung Melayu Subang, di sini sudah pun berbelanja sekitar RM3,000 untuk membaiki kereta yang rosak, malah mengakui ia masih belum mencukupi untuk membaiki sepenuhnya.

"Selain itu, katil, tilam semua perlu dibuang. Dah tak boleh pakai. Jadi, apabila dapat bantuan sebegini, saya memang lega kerana ia boleh digunakan untuk membeli barang-barang yang rosak selain membeli keperluan harian,” luahnya.

Mariyappan Tanjan, 45, pula mengakui setiap tahun kawasan tempat tinggalnya akan dinaiki air dan biasanya akan menanggung kerugian sekitar RM20,000.

"Selalunya saya akan membelanjakan hampir RM20,000 untuk membeli kelengkapan rumah yang baru, termasuklah membaiki kereta yang rosak akibat banjir,” katanya.

Bagaimanapun, Farihin Fauzi, 30, turut berharap agar lebih ramai pihak tampil membantu menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir kerana masing-masing terpaksa menanggung kerugian yang besar selepas banyak barangan dan kelengkapan rumah selain kenderaan rosak akibat banjir.

Farahin turut menyifatkan bahawa penyerahan bantuan wang tunai itu merupakan inisiatif terbaik kerajaan Kelantan kerana memahami kesusahan dihadapi rakyatnya di perantauan.

"Justeru, saya berterima kasih kepada kerajaan Kelantan kerana membantu. Rata-rata daripada kami tentunya gembira kerana sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung, sekali gus menceriakan kami semula selepas berdepan dengan musibah ini,” katanya.