Langkah kerajaan tangani krisis ekonomi semakin berhasil: PM

Iklan
Ismail Sabri - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah yang dilaksanakan kerajaan untuk menangani krisis ekonomi semakin membuahkan hasil apabila prestasi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mencatatkan pertumbuhan sebanyak 3.1 peratus pada 2021.

Beliau berkata, pembukaan hampir semua sektor ekonomi dan sosial serta permintaan domestik dan luar yang tinggi akan terus mendorong pertumbuhan.

Iklan
Iklan

Katanya, kerajaan akan memastikan unjuran pertumbuhan ekonomi antara 5.5 peratus dan 6.5 peratus bagi tahun 2022 tercapai.

"Paling penting ialah pertumbuhan ekonomi ini dapat dinikmati semua lapisan rakyat dengan peningkatan sumber pendapatan dan mengekang kenaikan inflasi.

Iklan

"Insya-ALLAH dengan perancangan yang teliti dan kerjasama seluruh Keluarga Malaysia, hasrat ini akan tercapai,” katanya dalam hantaran di laman Facebook beliau hari ini.

Ia turut disertakan dengan poster yang memaparkan petunjuk KDNK Malaysia Terus Maju Ke Arah Pemulihan, dengan KDNK 2021 mencatatkan 3.1 peratus manakala KDNK Suku Keempat 2021 mencatatkan 3.6 peratus.

Iklan

Petunjuk lain ialah kadar penurunan pengangguran sebanyak 4.2 peratus, aliran pelaburan langsung asing melebihi RM50 bilion dan peningkatan jumlah perdagangan luar melebihi RM2 trilion.

Semalam, Jabatan Perangkaan Malaysia dan Bank Negara Malaysia mengumumkan KDNK pada 2021 sebanyak 3.1 peratus, sejajar dengan unjuran kerajaan iaitu antara 3 dan 4 peratus.

Ini adalah peningkatan berbanding tahun 2020, apabila KDNK menguncup sebanyak 5.6 peratus.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) Ke-84 yang dikeluarkan hari ini berkata, kerajaan mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi negara untuk 2022 dalam julat 5.5 peratus hingga 6.5 peratus.

Tengku Zafrul berkata, angka itu selari dengan unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia, masing-masing sebanyak 5.7 peratus dan 5.8 peratus. - Bernama