SEORANG pemain skuad bawah 23 tahun (B-23) negara yang berlepas ke Phnom Penh, Kemboja bagi menyertai Kejuaraan B-23 AFF pada Jumaat dilaporkan positif Covid-19.
Perkembangan tersebut disahkan pengendali skuad B-23, Brad Maloney selepas pemain itu menjalani ujian calitan seperti ditetapkan protokol yang dijalankan pagi Sabtu.
"Pasukan perubatan sudah mengendalikan perkara ini dan kita akan terus mematuhi protokol yang ditetapkan.
"Pemain itu telah dibawa ke tempat perubatan yang disediakan untuk menjalani pengasingan dan dia akan kekal di sana,” katanya dalam sidang media yang diadakan secara dalam talian pada Sabtu.
Untuk rekod, skuad negara diundi bersama Indonesia, Laos dan Myanmar dalam Kumpulan B pada kejohanan akan membuka tirainya Isnin ini.
Bagaimanapun, juara bertahan Indonesia menarik diri daripada kejohanan itu disebabkan tujuh pemain dan seorang pegawai pasukan disahkan positif Covid-19.
Skuad B-23 kebangsaan akan menempuhi dua perlawanan kumpulan masing-masing menentang Myanmar pada 15 Februari dan Laos (18 Februari) di Stadium Prince.
Hanya tiga juara kumpulan dan satu naib juara terbaik akan ke peringkat separuh akhir dijadual berlangsung pada 24 Februari dan perlawanan akhir dijadual pada 26 Februari.