SHAH ALAM - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin disifatkan terdesak hingga menggelar Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai 'ketandusan kecerdasan'.
Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, Mohamed Khaled sebelum ini mendakwa kononnya golongan 'kluster mahkamah' yang disebut Muhyiddin tiada kaitan langsung dan tidak wajar dikaitkan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan masa depan rakyat negeri itu.
"Mengapakah Khaled cuba mengasingkan 'kluster mahkamah' termasuk Presiden UMNO atau Pengerusi Barisan Nasional (BN) dengan parti UMNO/BN yang akan menyertai PRN Johor?
"Bukankah yang akan menandatangani surat watikah dan berkuasa mutlak memuktamadkan calon-calon BN di PRN Johor adalah Pengerusi BN yang merupakan 'kluster mahkamah'?
"Bukankah kemenangan BN di Johor akan memberi momentum dan menjadi kemegahan kepada Pengerusi BN yang juga 'kluster mahkamah' bahawa beliau masih relevan untuk memimpin BN dan menentukan hala tuju politik negara pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)?” soalnya dalam kenyataan pada Sabtu.
Pada Sabtu, Mohamed Khaled menyifatkan Muhyiddin sebagai individu yang 'ketandusan kecerdasan' apabila terus menjadikan istilah 'kluster mahkamah' ciptaannya sendiri untuk menyerang pemimpin UMNO.
Sedangkan katanya, tiada seorang pun yang digelar ‘kluster mahkamah’ itu akan bertanding pada PRN Johor atau mempunyai kaitan dengan pentadbiran negeri itu.
Mengulas lanjut, Mohd Rafiq berkata, slogan kestabilan yang dicanang tidak bermakna apabila kestabilan politik yang diuar-uarkan kononnya semata-mata demi rakyat disalahgunakan untuk kepentingan politik peribadi dan parti BN serta UMNO.
"Ketika rakyat bertarung nyawa memerangi Covid-19 yang hari ini mencecah 22,802 kes dan berhempas pulas memulih ekonomi bagi menyara keluarga, RM96 juta wang rakyat yang sepatutnya boleh dijimatkan sekiranya PRN Johor disekalikan dengan PRU15 yang dijadual hanya beberapa bulan sahaja lagi dileburkan begitu saja demi kuasa serta kerakusan pimpinan UMNO dan BN.
"Kasihan rakyat Malaysia dan bangsa Johor yang tidak henti-henti diheret ke percaturan politik 'kluster mahkamah' dan pihak yang bersekongkol dengan kluster mahkamah seperti Khaled Nordin yang rakus mencatur arena politik negara,” tambahnya," ujarnya.