CAMERON HIGHLANDS - Rakyat Jepun obses terhadap kebersihan bukan sahaja sekadar di rumah malah di mana sahaja.
Amalan mereka itu telah menjadikan Jepun sebuah negara yang terkenal kerana kebersihannya.
Boleh dikatakan mustahil untuk menemui sampah-sarap yang dibuang merata tempat mahupun di jalan raya termasuk tandas sentiasa bersih.
Dek sikap rakyat Jepun sangat berdisplin, rendah diri, membuatkan seorang lelaki dari negara matahari terbit itu tular di negara ini.
Baru-baru ini, satu video tular di Twitter memaparkan seorang warga emas sedang memungut sampah di sekitar kawasan pelancongan itu.
Tindakan lelaki dari negara Jepun itu nyata menarik perhatian orang ramai yang mengagumi niat murninya.
Menerusi ciapan Twitter Cen Polo, dia menerima kiriman klip video berdurasi 44 saat itu menerusi aplikasi WhatsApp.
"Seseorang telah berkongsi video ini menerusi WhatsApp. Lelaki Jepun dilihat sedang membersihkan sisa sampah dari kawasan pelancongan tanah rata hingga ke Balai Polis Brinchang.
"Dia melakukan tugas itu setiap hari pada jam 6.30 pagi. Memang sangat memalukan apabila sesetengah masyarakat kita masih membuang sampah merata-rata tempat," katanya.
Ternyata penularan video itu membuka mata netizen mengagumi lelaki itu.
ZainiHashim, berkata,"pungut sampah sesuatu yang dihormati di Jepun... itu sebab Jepun bersih".
Kata walkbyf4ith pula,"orang Malaysia memang kurang sivik tentang kebersihan. Tengah jalan buka tingkap lontar plastik makanan, tisu ke luar".