GPASBP anjurkan Soul Fitness 2022: Ultimate Happiness

Iklan
Program Soul Fitness 2022: Ultimate Happiness secara hibrid pada jam 9 malam, 18 Februari ini.

SHAH ALAM - Gabungan Persatuan Alumni Sekolah Berasrama Penuh Malaysia (GPASBP) mengajak alumni Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan orang ramai untuk menyertai program Soul Fitness 2022: Ultimate Happiness secara hibrid pada jam 9 malam, 18 Februari ini.

Program anjuran bersama GPASBP dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) itu disiarkan secara langsung dari Studio F, Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Shah Alam dan orang ramai boleh sertai secara dalam talian di YouTube dan Facebook TickTalk TV, QuranHour, Sinar Harian dan Gabungan Persatuan Alumni SBP (GPASBP).

Iklan
Iklan

Timbalan Pengerusi GPASBP, Mohammad Hatta Husin berkata, Soul Fitness 2022 merupakan acara julung kali diadakan terbuka kepada keluarga besar alumni SBP termasuk pelajar, guru, petugas dan orang ramai.

"Terdapat lebih 100,000 bekas pelajar atau alumni dari 69 buah SBP yang aktif dalam mengikuti pelbagai aktiviti termasuk perjumpaan semula, sukan, sosial, kebajikan, pendidikan dan kerohanian. Dengan kerjasama dan sinergi semua alumni SBP, kita dapat mengadakan program yang lebih besar.

Mohammad Hatta

Iklan

"Selain daripada mengadakan aktiviti sosial dan kebajikan dalam kalangan ahli, alumni SBP turut menyokong dan membantu pembangunan kerohanian di SBP melalui pembinaan infrastruktur seperti surau dan pembiayaan program tahfiz di sekolah sehingga nilainya mencecah jutaan ringgit. Ini menunjukkan kesedaran terhadap kepentingan pendidikan agama dalam kalangan alumni SBP semakin meningkat," katanya.

Tambah beliau, penekanan pembangunan ilmu berasaskan al-Quran memainkan peranan yang amat penting sebagai sumber pendidikan yang efektif untuk mengenali Tuhan yang mencipta alam dan membimbing pelajar melakukan kajian dan penyelidikan berasaskan akhlak dan etika Islam. Pelajar yang dididik dengan al-Quran dapat membina rohani yang tunduk dan patuh kepada ajaran-Nya dan diterjemahkan dalam bentuk akhlak dan cara hidup yang terpuji.

Iklan

"Selaras dengan slogan ‘Di Sini Pemimpin Dilahirkan’, GPASBP akan terus menyokong Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) khususnya Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dalam usaha melahirkan pemimpin yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi mempunyai asas yang kuat dalam pendidikan al-Quran supaya boleh memberi manfaat dan kesejahteraan kepada manusia dan alam," ujarnya.

Program Soul Fitness 2022 menampilkan panelis yang terdiri daripada alumni seperti Ketua Pegawai Penyelidik WUIF merangkap Pentadabbur My #QuranTime, Fazrul Ismail (Sekolah Tuanku Abdul Rahman Old Boys Association), Ketua Jurutera TNB (Strategi & Polisi), Sansubari Che Mud (Sekolah Menengah Sains Machang Alumni), Pendakwah Santai dan Perunding Motivasi, Halim Hafidz (Persatuan Alumni Kolej Islam, Klang).

Sesi bacaan Surah Al-Sajdah dibimbing oleh Qari My #HaditTime, Mohamad Husaini Mahmur. Pengerusi GPA SBP,

Dr Ab Wahab Che Mat yang juga alumni Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra turut tampil untuk berkongsi maklumat.

Sementara itu, Penyelaras Program Soul Fitness 2022, Wan Mohd Azran Wan Yusoff berkata, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada Mac 2021, GPASBP telah mengambil inisiatif untuk membuat perjumpaan usrah secara dalam talian.

"Ramai rakyat terkesan akibat musibah banjir, kesan pandemik Covid-19 dan masalah ekonomi rentetan pelbagai musibah yang melanda.

"Demi mengembalikan semula semangat dan jiwa rakyat yang lemah, kami berharap program ini memberi kekuatan dengan meletakkan al-Quran sebagai panduan dalam menghadapi tahun yang mendatang.”

"Seramai 500 orang termasuk alumni disasarkan untuk menyertai Soul Fitness 2022. Harapan pihak kami, kolaboratif dengan WUIF terus berkembang ke peringkat lebih besar dengan meluaskan golongan sasaran,” katanya yang juga alumni Sekolah Menengah Sains Machang (Smachian).

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, pihak WUIF memberi sokongan sepenuhnya dalam program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal.

Marhaini

Beliau yang juga alumni Smachian berharap lebih banyak pihak bersama menyemarakkan dalam mencari kekuatan untuk menguruskan kehidupan diri, keluarga dan organisasi dengan al-Quran.

Program Soul Fitness 2022 menjadi momentum untuk menikmati al-Quran, seterusnya membawa kebahagiaan abadi. Tema kebahagiaan abadi merungkai erti sebenar sebuah kebahagiaan berlandaskan panduan Surah Al-Sajdah ayat 15, bertemakan #Dunia Bersujud dan #MalaysiaBersujud.

"Pihak WUIF mengalu-alukan kepada sesiapa yang ingin bekerjasama dalam membawa al-Quran sebagai solusi dalam kehidupan. Kita menggunakan pendekatan"thematic & reconstructive” dalam membina kerangka minda sebagai ayah, ibu dan anak.

"Program tersebut yang dibawakan oleh Unit Penyelidikan dan Pembangunan Soul Fitness di bawah WUIF dapat memberi sumbangan dalam pembentukan keluarga dan masyarakat,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.facebook.com/WorldQuranHour