JOHOR BAHRU- Sumpah laknat dilakukan seorang wanita berhubung dakwaan kes gangguan seksual Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain tidak akan mengganggu siasatan polis.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sumpah laknat terbabit merupakan perkara peribadi yang sama sekali tidak mengganggu siasatan secara adil dan saksama dilakukan.
"Kes terbabit masih lagi dalam siasatan dan ada beberapa perkara lagi yang perlu dikemaskan.
"Berhubung sumpah laknat, itu hal peribadi dia (pengadu). Siasatan tetap akan diteruskan secara adil dan saksama," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen ( IPK) Johor pada Ahad.
Pada Sabtu, media melaporkan seorang wanita berusia 27 tahun membuat pengakuan bersumpah berhubung dakwaan kes gangguan seksual melibatkan ADUN Sedili, Rasman Ithnain.
Sebelum itu, pada 17 Januari lalu laporan polis terhadap Rasman dibuat pengadu, sebelum tular di media sosial yang mendakwa diganggu secara seksual oleh ADUN terbabit semasa terlibat dalam aktiviti bantuan kepada mangsa banjir di Kuala Sedili, Kota Tinggi, Sungai Ara, Mersing dan Bukit Kepong, Muar baru-baru ini.
Kemudian pada 18 Januari, Rasman yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kota Tinggi menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkan ia sebagai satu konspirasi politik untuk mencemarkan reputasinya.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat pada 26 Januari lalu memberitahu kertas siasatan kes gangguan seksual membabitkan Rasman sudah pun dilengkapkan dan telah diserahkan kepada Pejabat Perundangan Polis Diraja Malaysia (PDRM).