'Pelantikan Boon Chye pilihan tepat'

Iklan
Dr Lee Boon Chye

IPOH - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak menyambut baik pelantikan Dr Lee Boon Chye sebagai pengerusi sementara menggantikan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Timbalan Pengerusi PKR negeri, Datuk MA Tinagaran berkata, pelantikan Ahli Parlimen Gopeng itu adalah tepat berdasarkan pengalaman pemimpin berkenaan sebagai orang lama parti.

Iklan
Iklan

"Sudah tentulah kita bersetuju dan menyokong penuh pelantikan ini.

"Kita percaya beliau dapat membantu mengurus tadbir parti dengan baik berdasarkan pengalamannya yang pernah menjawat timbalan pengerusi negeri sebelum ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Iklan

Menurutnya, pelantikan pengerusi baharu itu tidak akan menjejaskan struktur kepimpinan PKR baik di peringkat negeri mahupun cabang sebaliknya membantu kelancaran proses pentadbiran terutama dalam pemilihan parti yang dijangka selesai April ini.

"Beliau tidak terikat dengan pemilihan jawatankuasa di peringkat Pusat, jadi secara tidak langsung dapat melancarkan proses pemilihan nanti," katanya.

Iklan

Pada Sabtu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan Boon Chye sebagai Pengerusi PKR Perak sementara sehingga tamat pemilihan parti yang akan selesai pada akhir April depan.

Farhash Wafa Salvador yang meletakkan jawatan sebagai Ketua Cabang Kuala Kangsar mengesahkan akan bertanding merebut jawatan Ketua Cabang Gombak yang kini disandang Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada pemilihan parti.