MADRID - Sepanyol digemparkan dengan berita pembunuhan tiga sekeluarga di bandar Elche, tenggara Sepanyol, selepas seorang remaja lelaki berusia 15 tahun mengaku membunuh ibu bapa dan adik lelakinya selepas pertengkaran keluarga mengenai WiFi.
Polis mengesahkan remaja berusia 15 tahun itu, yang namanya tidak didedahkan ditahan pada Jumaat kerana dituduh melakukan tiga pembunuhan, yang berpunca daripada pertengkaran mengenai gred mata pelajarannya yang lemah, lapor Agensi Berita Xinhua memetik akhbar Sepanyol.
Akhbar tempatan melaporkan ibu remaja itu memutuskan aksesnya kepada WiFi sebagai hukuman atas prestasi buruknya di sekolah dan juga keengganannya membantu tugas-tugas di rumah.
Remaja itu mengambil senapang patah dan menembak mati ibunya, sebelum membunuh bapa dan adik lelakinya berusia 10 tahun dengan senjata yang sama apabila mereka pulang ke rumah dan mengetahui apa yang telah berlaku.
Remaja itu kekal di rumah bersama ketiga-tiga mayat selama tiga hari sebelum membuat pengakuan kepada saudara-mara, yang bimbang selepas tidak mendengar khabar daripada keluarga berkenaan.
Polis kemudian menahan remaja itu dan dia secara rasmi mengaku melakukan tiga pembunuhan di Balai Polis Elche dan masih berada dalam tahanan. - Bernama