Kebakaran terbuka: Pahang catat kes tertinggi

Iklan
Dari kiri, Nor Hisham dan Mohammad Hamdan ketika menyampaikan anugerah kecemerlangan kepada Komander Operasi Kanan Zon 2, Mohd Arshad Abdullah.

KUANTAN - Malaysia mungkin dilanda masalah jerebu serius berikutan kes kebakaran hutan terbuka yang meningkat secara mendadak di seluruh negara sejak Februari lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, justeru orang ramai diingatkan agar menghentikan pembakaran terbuka pada musim panas yang sedang melanda negara ketika ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sehingga 28 Februari lalu, sebanyak 6,566 kes kebakaran terbuka direkodkan di seluruh negara berbanding 16,566 kes sepanjang tahun 2018.

Ia bermakna lebih satu pertiga kejadian kebakaran sudah direkodkan dalam tempoh dua bulan sahaja pada tahun ini.

Iklan

"Pahang antara negeri tertinggi mencatatkan kes kebakaran terbuka, namun negeri dengan jumlah tertinggi ialah Johor iaitu 1,457 kes, diikuti Kedah (846) dan Sabah (755).

"Ia melibatkan kebakaran ladang, hutan, belukar dan sampah berskala besar. Berdasarkan catatan itu, jumlah kes dijangka terus meningkat Mac kerana ketika ini banyak kawasan hutan sedang terbakar di seluruh negara. Sebahagian besar kes kebakaran terbuka adalah disebabkan faktor aktiviti manusia.

Iklan

"Bagi Pahang, tumpuan diberikan ke atas daerah yang sedang berlaku kebakaran hutan seperti Pekan dan Kuantan," katanya pada sidang media majlis penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 peringkat JBPM Pahang di Indera Mahkota, Kuantan, pagi tadi.

Sejumlah 70 anggota dan pegawai JBPM Pahang yang menerima anugerah kecemerlangan.

Hadir sama, Pengarah JBPM Pahang, Nor Hisham Mohammad.

Mohammad Hamdan berkata, sekiranya kebakaran yang turut menjejaskan Indeks Pencemaran Udara (IPU) itu tidak terkawal, JBPM bimbang masalah jerebu yang serius akan berlaku.

Tambahan pula katanya, berdasarkan laporan ketika ini, beberapa kawasan di negara jiran turut berhadapan masalah sama.

Menurutnya, pemantauan dan usaha memadam kebakaran di beberapa kawasan hutan giat dilakukan ketika ini, dan bagi mengelak keadaan bertambah serius, semua aktiviti yang boleh mendorong kepada kebakaran terbuka dihentikan segera.

"Usaha memadam kebakaran terbuka hutan memberi cabaran besar anggota bomba kerana membabitkan kawasan luas.

"Sekiranya berlaku di kawasan pendalaman hutan dan melibatkan tanah gambut, ia lebih sukar kerana jentera tidak boleh memasuki kawasan tersebut sebaliknya memerlukan tenaga manusia yang optimum serta pam berkapasiti tinggi (high performance pump)," katanya.