Subsidi penternak ayam: Kerajaan belum buat keputusan lanjut

Iklan
Ronald Kiandee

ALOR SETAR - Kerajaan belum memutuskan sama ada akan melanjutkan pemberian subsidi kepada penternak ayam yang dilaksanakan berikutan isu kenaikan harga ayam ketika ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pemberian subsidi selama empat bulan mulai 5 Februari hingga 4 Jun itu membabitkan peruntukan lebih RM500 juta.

Iklan
Iklan

Katanya, pemberian subsidi berkenaan terpaksa dilaksanakan bagi memastikan harga ayam kekal di bawah paras RM9 sekilogram berbanding harga sebenar pasaran yang sepatutnya mencecah sehingga RM9.90.

"Pada ketika ini kerajaan tidak boleh kurangkan harga import jagung, oleh itu kerajaan putuskan beri subsidi kepada penternak untuk memastikan harga pasaran ayam pada kadar kurang RM9.

Iklan

"Tetapi apabila kita bagi subsidi, ia memberi kesan kewangan di mana kerajaan dijadual membayar lebih setengah bilion ringgit dalam tempoh empat bulan kepada penternak," katanya ketika ditemui ketika Majlis Pelancaran Smart SBB di kawasan Muda di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) C-IV Kangkong di sini pada Ahad.

Menurutnya, dalam usaha mengawal harga ayam pada masa hadapan, kerajaan sedang merangka dasar baharu bagi menggalakkan penanaman jagung secara meluas di negara ini.

Iklan

"Sekarang ini kita tidak tanam jagung secara komersial untuk makanan haiwan. Industri penternakan kita bergantung kepada makanan import yang berdasarkan harga pasaran antarabangsa.

"Jadi kita dalam proses mengolah dasar lebih agresif bagi melihat industri penanaman jagung dapat ditingkatkan bertujuan menampung kebergantungan kepada jagung import yang menyebabkan kenaikan harga ayam," katanya.

Sebelum ini, kenaikan jagung import yang menjadi bahan makanan utama ternakan ayam menjadi antara punca kenaikan harga ayam di pasaran tempatan yang menyebabkan pengguna terbeban dengan harga ayam yang melambung.