ALOR SETAR - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) menyasarkan pendapatan pesawah yang menyertai Program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) dapat ditingkatkan sehingga RM5,000 serelung menjelang tahun 2025.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, Smart SBB merupakan salah satu inisiatif kerajaan dalam pengurusan sawah berpusat untuk mengoptimumkan penggunaan sumber dan meningkatkan kecekapan aktiviti penanaman dan pengeluaran hasil.
Katanya, selain itu, ia juga mampu meningkatkan pendapatan pesawah susulan pengurangan penglibatan orang tengah sepanjang rantaian nilai industri padi dan beras negara.
"Konsep smart farming iaitu penggunaan peralatan moden turut diguna pakai dalam program ini untuk meningkatkan kuantiti dan kualiti produk pertanian," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Smart SBB di kawasan Muda di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) C-IV Kangkong di sini pada Ahad.
Menurutnya, sejak September 2020 sehingga kini, sebanyak 19 syarikat peneraju termasuk Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan menyasarkan pembangunan kawasan penanaman padi seluas 300,000 hektar.
"Keistimewaan tambahan program melalui LZNK ini adalah dengan menampilkan elemen kebajikan kepada pembangunan asnaf melalui penawaran khidmat bimbingan, latihan serta semua kemudahan berkaitan pembangunan industri dan beras," katanya.
Katanya, Mada bersama rakan strategiknya Padiberas Nasional Berhad (Bernas) telah melaksanakan Program Smart SBB pada Musim 2/2021 dengan keluasan kawasan seluas 100 hektar di Kampung Tok Jering dan Kampung Permatang Ibus di sini.
"Keseluruhannya melibatkan 43 pesawah dibawah pengendalian PPK A-IV Batas Paip dan PPK C-IV Kangkong," katanya.
Sementara itu, pesawah dari Kampung Tok Jering, Mohd Fazlie Mubarak, 27, berkata, dia memutuskan untuk mengikuti program Smart SBB setelah melihat manfaat yang diterima pesawah.
"Saya lihat banyak peningkatan manfaat kepada pesawah dari segi potongan hasil padi dan kemudahan untuk mengusahakan sawah.
"Perjanjian ini berlangsung selama lima tahun dan bayaran yang diterima pesawah adalah antara RM2,000 hingga RM3,000 serelung bergantung kepada hasil padi," katanya.
Dalam majlis sama, Ronald Kiandee turut menyaksikan majlis menandatangani MoU antara MAFI dengan LZNK Mada dengan Bernas serta Mada dengan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).