Defisit kepercayaan, konsensus nasional perlu dicapai segera: Mujahid

Iklan
Mujahid menyantuni barisan pengamal media Perak sempena Majlis Pimpinan Pakatan Harapan bersama Media di Hotel Impiana di sini pada Ahad.

IPOH - Pakatan Harapan (PH) Perak mengajak semua parti politik menyahut pembentukan konsensus nasional dan duduk berbincang mengenai perkara itu bagi meraih kembali kepercayaan rakyat terhadap ahli dan parti politik.

Pengerusinya, Datuk Seri Mujahid Yusof berkata, konsensus nasional itu perlu dicapai segera bagi membangunkan semula permuafakatan antara parti dan menangani semua unsur yang boleh menggangu-gugat kestabilan politik baik di peringkat nasional mahupun negeri.

Iklan
Iklan

Menurutnya, situasi semasa politik ketika ini menyebabkan keyakinan rakyat semakin menurun apatah lagi dengan keadaan negara berdepan pandemik dan bencana.

"Negara kita sekarang berdepan defisit politik, rakyat sudah tidak lagi percaya ahli politik kerana mereka melihat kepimpinan yang ada sekarang tidak fokus kepada rakyat melainkan mahu mempertahankan pengkhianatan mereka demi mengekalkan majoriti yang ada.

Iklan

"Sebab itu kita mengajak semua parti baik Muda (Parti Ikatan Demokratik Malaysia), Warisan, Pejuang (Parti Pejuang Tanah Air) malah UMNO sendiri untuk duduk berbincang mengenai konsensus nasional ini.

"Bagi PH, kita sudah pun mulakan langkah itu yang membawa kestabilan politik sepertimana berlaku di Perak," katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Pimpinan Pakatan Harapan bersama Media di sini pada Ahad.

Iklan

Hadir sama, Ketua Koordinasi Komunikasi PH Perak, Dr Muhaimin Sulam; Ketua Pemuda PH Pusat, Howard Lee Chuan How; Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Baldip Singh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhammad Arafat Varisai Mahamad.

Pada majlis itu, seramai 30 pengamal media pelbagai agensi hadir untuk berkongsi pandangan berkaitan isu semasa dan politik.

Sementara itu, Mujahid berkata, persefahaman antara parti kompenan PH mengenai pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah mencapai 90 peratus di Perak.

Katanya, menerusi persefahaman itu, mana-mana parti yang memenangi kerusi ditandingi sebelum ini akan kekal bertanding di kerusi berkenaan.

Jelas beliau, pertukaran kerusi antara parti terutama melibatkan kerusi tidak menang dan ditandingi Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) sebelum ini akan dibincangkan antara parti terlibat.

"Sejak saya diberi tanggungjawab sebagai pengerusi PH Perak, satu daripada keutamaan adalah berkaitan pembahagian kerusi.

"Sebab itu saya katakan setakat ini, 80 ke 90 peratus pembahagian itu telah selesai, baki 10 peratus ini saya kira amat mudah diselesaikan menjelang PRU nanti," katanya.