PASIR PUTEH - Belia Kelantan didedahkan dengan ilmu ternakan lembu hibrid dalam usaha meningkatkan pengeluaran daging segar di negeri ini pada masa hadapan.
Program anjuran Majlis Getah Malaysia (MRC) dengan kerjasama Penggerak Komuniti Negara (PKN) itu merupakan perkongsian ilmu baharu dalam merancakkan lagi industri ternakan lembu hibrid di negeri ini.
Pengarah program berkenaan, Mohd Edzuddin Abdul Majid berkata, ternakan lembu hibrid mempunyai potensi besar sekiranya diusahakan dengan teknik yang betul.
"Hal ini kerana harga lembu hibrid boleh mencecah tiga kali ganda iaitu sehingga RM30,000 seekor," katanya semasa ditemui pemberita semasa kursus ternakan lembu di D'Muara Chalet, di sini pada Ahad.
Perasmian majlis itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MRC, Nor Hizwan Ahmad.
Menurutnya, selain itu lembu hibrid boleh mencecah berat satu hingga 1.3 tan untuk seekor berbanding lembu kampung sekitar 200 hingga 300 kilogram sahaja.
Katanya, kursus itu turut memberi fokus kepada penghasilan produk tenusu daripada haiwan ruminan itu.
Mohd Edzuddin berkata, setiap peserta didedahkan dengan ilmu pengurusan kesihatan ternakan lembu; pengurusan pembiakan dan pengurusan asas ternakan lembu.
"Kita turut memberikan khidmat nasihat berkait dengan bantuan kewangan dalam mengembangkan lagi ternakan tersebut," katanya.
Sementara itu, seorang peserta Muhamad Firdaus Ismail,22, berkata, kursus tersebut amat membantu menambahkan lagi pengetahuan berkait dunia ternakan lembu khususnya hibrid dengan lebih mendalam.
"Ternakan lembu hibrid berbeza dengan kampung dan sebelum ini saya hanya terdedah dengan teknik asas sahaja.
"Sepanjang kursus ini banyak perkara-perkara baharu yang diperolehi berkait cara penjagaan; pengurusan dan pemasaran lembu menggunakan teknologi terkini," katanya.