PRN Johor: UMNO yakin rampas semula DUN Endau, Tenggaroh

Iklan
Mohd Youzaimi (kiri) menyerahkan sumbangan kepada penerima dalam Program Sarapan Percuma di Kampung Penyabong, Mersing, pada Ahad.

MERSING - UMNO Mersing percaya pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau dan DUN Tenggaroh akan memilih Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagaimana dibuktikan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ketua UMNO Bahagian Mersing, Mohd Youzaimi Yusof berkata, ini kerana daerah ini merupakan kubu kuat BN malah kedua-dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau dan ADUN Tenggaroh sebelum ini menang atas tiket UMNO sebelum melompat parti.

Iklan
Iklan

"Pengundi dan masyarakat di dua DUN berkenaan lebih tahu dan arif serta boleh menilai sendiri tentang apa yang berlaku.

"Tindakan 30 ahli UMNO dari Mersing keluar parti semalam (Sabtu) tidak memberi kesan atau merubah apa-apa," katanya ketika ditemui selepas Program Sarapan Percuma di Kampung Penyabong di sini pada Ahad.

Iklan

Pada Sabtu, 30 ahli UMNO dari cawangan Kampung Triang dan cawangan Kampung Baru Air Tawar mengisytiharkan keluar parti dengan menyerahkan borang keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Keputusan tersebut didakwa diambil selepas hilang kepercayaan susulan isu semasa dalam UMNO yang belum selesai sehingga kini.

Iklan

Mohd Youzaimi berkata, tumpuan UMNO bahagian kini adalah memperkemas jentera di 44 pusat daerah mengundi (PDM) melibatkan 60 cawangan.

Jelasnya, semua persiapan berjalan lancar dan jentera bersemangat malah tidak gusar untuk menggempur PRN Johor.

"Alhamdulillah kita berterima kasih kepada pucuk pimpinan Pusat dan negeri yang banyak membantu kita. Ini termasuk negeri angkat dari Pahang yang akan membantu di DUN Endau dan DUN Tenggaroh," ujarnya.

Beliau berkata, UMNO bahagian itu sudah turun padang sejak sebelum PRN Johor diumumkan lagi dan semua yang dilakukan itu bukan bermusim.

"Walaupun ketika itu kita ditinggalkan wakil rakyat yang menang PRU, namun selepas itu kita rasa bertambah kuat walaupun mereka (ADUN Endau, ADUN Tenggaroh dan Ahli Parlimen Mersing) tidak ada.

"Kita yakin pengundi masih setia bersama UMNO dan BN di Mersing. Pengundi muda dan lama boleh menilai yang mana intan permata dan kaca," katanya.