LAHAD DATU - Seorang kru kapal dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke laut di perairan Pulau Sakar, di sini, awal pagi Ahad.
Mangsa, Tarri Jurani, 41, dikatakan terjatuh kira-kira jam 7 pagi sebelum laporan polis dibuat dan pasukan bomba dimaklumkan berhubung kejadian itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu dan seramai tiga anggota dikejar ke lokasi kejadian.
"Menurut rakan sekerja, mangsa disedari hilang ketika mereka sedang menurunkan pukat di kapal berkenaan.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa segera dilakukan dengan keluasan kawasan pencarian radius 20 kilometer," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Ahad.
Bagaimanapun, Sumsoa berkata, mangsa bagaimanapun masih belum ditemui dan SAR terpaksa ditangguh sementara.
"Operasi ditangguhkan pada jam 5.26 petang tadi dan akan diteruskan esok serta maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa," katanya.