KPM perjelas sekolah menengah tidak boleh jadi tempat mengundi

Iklan
Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin

SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengulangi pendiriannya sebelum ini yang menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menggunakan sekolah menengah sebagai tempat pembuangan undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menterinya, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, menerusi sesi libat urus dijalankan, warga pendidik dan pentadbir sekolah menyatakan kerisauan mereka bahawa sekolah menengah akan digunakan tempat pembuangan undi.

Iklan
Iklan

"Mereka menyatakan kerisauan berkaitan perkara ini memandangkan pilihan raya ini diadakan dalam tempoh pelaksanaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Oleh sebab itu, kami di KPM telah berbincang dan kita akan menghantar surat rasmi kepada SPR untuk memohon supaya sekolah menengah tidak digunakan sebagai pusat pembuangan undi,” katanya menerusi sebuah video yang disiarkan di Facebooknya pada Ahad.

Iklan

Pada Rabu, SPR mengumumkan hari penamaan calon bagi PRN Johor ditetapkan pada 26 Februari ini manakala undi awal pada 8 Mac depan manakala pembuangan undi pula 12 Mac.

Dalam pada itu, Mohd Radzi turut menjelaskan mengenai mengapa sekolah menengah tidak boleh digunakan memandangkan sesi pengundian dilaksanakan pada Sabtu.

Iklan

Jelasnya, ini disebabkan setiausaha peperiksaan di sekolah telah menyusun proses ini untuk satu tempoh yang panjang.

"Ia bukan sekadar menyusun meja sahaja kerana proses peperiksaan ini melibatkan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang tidak pernah digunakan sebelum tempoh pandemik Covid-19.

"Dalam konteks SOP baharu ini, hampir keseluruhan bilik darjah di sekolah digunakan,” katanya.

Mohd Radzi berkata, sebelum hari pengundian iaitu pada hari Khamis juga akan ada peperiksaan Matematik melibatkan semua calon-calon SPM di seluruh negara termasuklah negeri Johor.

"Ini merupakan satu peperiksaan yang besar dan pada hari Isnin akan ada peperiksaan Sains yang turut melibatkan ramai calon.

"Maka kita tidak mahu susunan ini diganggu, dipindahkan, diasingkan dan digunakan untuk tujuan pilihan raya kerana proses atau tatacara yang kita gunakan dalam penyusunan ini perlu diteliti satu per satu kembali,” jelasnya.

Menurutnya, setiap meja itu juga mempunyai ‘barcode’ dan disusun mengikut indeks yang lengkap dan teratur.

"Dan sebarang perubahan tanpa penelitian akan memberi kesan kepada keputusan atau susun atur penyelarasan keputusan peperiksaan nanti,” katanya.