Omicron mengganas, namun SOP kempen dilonggar

Iklan
Gambar hiasan Omicron -Foto 123rf

PROSEDUR operasi standard (SOP) bagi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dijangka lebih longgar berbanding PRN Sarawak dan Melaka.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada Sabtu berkata, kelonggaran itu berdasarkan kajian Kementerian Kesihatan yang mengambil kira kesan varian Omicron terhadap kesihatan awam dan liputan vaksinasi negara yang tinggi pada masa ini.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, perincian kelonggaran SOP itu bakal diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Kenyataan Khairy itu selari dengan hasrat Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh sebelum ini yang berharap SOP PRN Johor dilonggarkan supaya lebih banyak kempen di lapangan dapat dilakukan.

Beberapa parti politik sememangnya inginkan peluang berkempen secara fizikal dan bersemuka dengan SOP yang lebih longgar.

Iklan

Pada PRN Melaka dan Sarawak, peluang untuk pengundi berinteraksi dengan calon amat terhad. Keadaan ini tentulah tidak elok kerana dalam sistem demokrasi, adalah mustahak pengundi mendapatkan pendirian calon-calon dalam sesuatu isu yang berkait rapat dengan mereka, sama ada isu tempatan mahupun nasional.

Dalam usaha memenuhi tuntutan demokrasi, banyak faktor mesti dipertimbang terlebih dahulu. SOP lebih longgar itu perlu diselaras dengan baik agar kes Covid-19 tidak menjadi lebih berbahaya.

Iklan

Memang benar tiada lonjakan kes dan tidak ada kluster baharu selepas PRN Melaka dan Sarawak pada 20 November dan 18 Disember lalu. Bagaimanapun, pada masa itu varian Omicron baru bermula di negara kita. Kes pertama Omicron kali pertama dikesan di Malaysia pada 2 Disember lalu.

Bagaimanapun, lonjakan kes baharu Covid-19 kini sangat membimbangkan. Bayangkan, angka kes baharu mencatat lebih 10,000 bermula 6 Februari lalu namun hanya dalam tempoh seminggu, angkanya mencecah 22,802, Sabtu lalu.

Kes harian baharu Covid-19 tertinggi pernah direkod di Malaysia ialah sebanyak 24,599 pada 26 Ogos 2021.

Dengan hari penamaan calon PRN Johor tinggal 12 hari lagi iaitu pada 26 Februari, kita berharap kelonggaran kempen yang dimaksudkan Khairy itu tidak akan menambah sengsara rakyat andai berlaku lonjakan kes baharu Covid-19 susulan PRN tersebut.