Teliti syor pembukaan sempadan demi rakyat

Iklan
Gambar hiasan -Foto 123rf

PEMBUKAAN semula sempadan negara memerlukan penelitian dan perbincangan lanjut melibatkan semua pihak berkaitan sebelum dilaksanakan.

Pada masa ini masih banyak lagi negara yang belum bersedia menerima pelancong ke negara mereka berikutan peningkatan kes jangkitan Covid-19 varian Omicron di seluruh dunia.

Iklan
Iklan

Pada 8 Februari lepas, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesyorkan kerajaan membuka sepenuhnya sempadan negara seawal 1 Mac ini tanpa keperluan kuarantin wajib.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi menyokong pemulihan negara khususnya dalam sektor ekonomi dan pelancongan serta mampu menarik pelabur asing ke dalam negara.

Iklan

Bagaimanapun, adakah Malaysia sudah bersedia menerima kedatangan pelancong asing? Adakah kita yakin kehadiran mereka tidak akan membahayakan kesihatan dan meningkatkan kluster baharu?

Kita tidak tahu sama ada tahap kesihatan mereka di tahap optimum atau boleh membawa penyakit yang mengakibatkan penularan besar-besaran varian baharu Covid-19 itu.

Iklan

Pemansuhan kuarantin wajib selepas ketibaan pelancong ke negara ini seperti yang disyorkan MPN adalah berisiko jika mereka yang ada penyakit akan membawa wabak itu ke Malaysia. Inilah yang semakin membimbangkan rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata, cadangan MPN itu belum boleh dilaksanakan kerana ia memerlukan penelitian lanjut.

Memang tepat juga apabila Ismail Sabri memaklumkan sempadan masih belum sesuai dibuka dengan peningkatan kes Covid-19 di kebanyakan negara termasuk Malaysia.

Mungkin ramai yang bersetuju dengan Perdana Menteri kerana rakyat Malaysia kini perlu meneruskan kegiatan harian mereka sendiri bagi membolehkan peningkatan ekonomi terutama ketika berdepan dengan kenaikan harga barang.

Walaupun pembukaan pintu sempadan merupakan langkah penting bagi menyokong pemulihan negara khususnya dalam sektor ekonomi dan pelancongan serta mampu menarik pelabur asing ke Malaysia, ini tidak bermakna kesihatan rakyat perlu diperjudikan.

Sekiranya kemasukan pelancong asing ke dalam negara membawa jangkitan penyakit, ia hanya akan membahayakan rakyat.

Kita juga tidak pasti sejauh mana rakyat dapat berpegang kepada prosedur operasi standard yang telah ditetapkan kerana buktinya ramai yang sudah dijangkiti sehingga mencecah lebih 20,000 orang.

Kita sepatutnya bersetuju dengan pendapat bahawa pelancongan domestik juga boleh menyumbang kepada ekonomi negara.

Ketika kerajaan menyekat pergerakan rakyat ke luar negara, pelancongan domestik menjadi pilihan rakyat di mana beberapa lokasi menerima sambutan menggalakkan seperti Pulau Langkawi, Sabah dan Sarawak.

Tempahan hotel negeri-negeri tersebut semakin meningkat dan tempahan tiket penerbangan tambang murah mendapat sambutan walaupun bukan dalam tempoh cuti persekolahan.

Faktor ini juga antara yang dapat membantu meningkatkan ekonomi rakyat terutama penduduk setempat yang kini dalam tempoh 'menyimpan semula' wang selepas keadaan sukar dua tahun lalu.

Selain kluster dalam komuniti, pembukaan sempadan mungkin memburukkan lagi sistem pendidikan yang ramai pelajarnya sudah dijangkiti Covid-19.

Walaupun ketika ini tidak ada kes jangkitan Covid-19 kategori empat dan lima dalam kalangan pelajar namun ibu bapa masih bimbang akan berlaku jangkitan besar-besaran selepas sempadan dibuka.

Sehingga kini negara seperti Jepun, China dan Hong Kong belum bersedia 'menyambut' orang luar kerana bimbang berlaku penularan.

Australia bagaimanapun akan membuka sempadannya pada 21 Februari ini manakala Indonesia telah membuka sempadannya pada awal tahun ini.

Ketika ini beberapa negara tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup hidung dan mulut seperti di Denmark, Greece, Ireland dan negeri-negeri di Amerika Syarikat.

Malaysia sebenarnya masih jauh menuju ke arah itu kerana rakyat sendiri berada dalam kesukaran.

Majoriti penduduk di seluruh dunia masih diwajibkan memakai pelitup muka. Tepuk dada tanya selera.

* Aswany Omar ialah Penyunting Sinar Harian