Undi18: Politik perlu jadi subjek di sekolah

Iklan
Pelajar khasnya golongan belia Malaysia mahukan politik dijadikan sebagai subjek dalam sukatan pelajaran di sekolah sebagai persediaan untuk Undi18.

SHAH ALAM - Celik politik perlu menjadi sebahagian daripada sukatan pelajaran sekolah pada peringkat awal.

Bagi para pelajar khasnya bakal pengundi negara, pendedahan yang lebih baik kepada pendidikan politik diperlukan sekiranya Malaysia mahu menggalakkan lebih ramai golongan muda turun ke peti undi apabila pilihan raya diadakan.

Iklan
Iklan

Menyuarakan kebimbangan mereka mengenai kurangnya celik politik dalam demografi belia, beberapa pelajar universiti dan kolej mengatakan bahawa pendidikan mengenai proses pilihan raya dan kepentingan mengundi harus diajar lebih awal di sekolah supaya belia negara mempunyai asas yang baik dalam politik serta tadbir urus sebaik sahaja mereka mencapai umur 18 tahun, umur di mana mereka kini layak mengundi.

Lim Yue Kin, 18, berpandangan adalah sangat penting untuk memperkenalkan literasi politik dan pendidikan pengundi di sekolah atau secara amnya pada usia muda.

Iklan

"Saya amat percaya bahawa orang dalam kumpulan sebaya saya tidak mempedulikan dan mengambil berat tentang pengundian atau iklim politik di Malaysia.

"Malah, jika ditanya pada rata-rata remaja di sekolah menengah awam biasa, pasti ramai yang keliru tentang bagaimana Dewan Rakyat kita berfungsi. Saya juga percaya ramai yang tidak tahu mengenai prosedur di Parlimen mahupun mengundi. orang ramai tidak peduli atau terlalu sibuk,” katanya.

Iklan

Yue Kin dalam masa sama juga berharap supaya lebih banyak kepentingan politik dalam kalangan belia Malaysia memandangkan keputusan yang dibuat di Parlimen dan arena politik akan memberi kesan langsung kepada semua pihak, termasuk golongan muda dalam menjalani kehidupan.

"Sebagai contoh, apabila prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 digubal, ia melibatkan perkara sama ada kita boleh pergi ke sekolah, sama da kita boleh bekerja dan sama ada kita boleh berjumpa dengan rakan-rakan kita.

"Isu utama mengapa belia kita tidak berminat dalam politik adalah kerana mereka tidak memahami hak mereka dan juga kuasa mengundi,” kata anak muda itu.

Yue Kin juga percaya bahasa salah satu punca kepada masalah itu adalah disebabkan sistem pendidikan awam semasa.

"Kami sangat tertumpu untuk mendapatkan straight A dalam biologi, kimia dan matematik tambahan tetapi tidak mempunyai subjek yang benar-benar mendalami struktur Parlimen, bagaimana undang-undang dan dasar dibuat dan tidak pernah mendapat peluang untuk mengkritik atau bercakap tentang keputusan yang dibuat oleh mereka yang berkuasa.

"Malah, kami tidak digalakkan untuk membicarakan perkara sebegitu dalam persekitaran sekolah,” tegasnya.

Bagi Aaliyah Nadjmin, 19, walaupun ada peningkatan minat belia dalam politik, namun masih ramai yang tidak menganggap politik perlu mendapat perhatian mereka dan merasakan ia sebagai medan yang tiada harapan kerana ditenggelami oleh tokoh politik yang rasuah.

"Saya fikir menyediakan belia untuk politik harus bermula dari sekolah menengah, kerana mereka kemudian akan dapat membina pendapat mereka sendiri dan mempunyai pemahaman yang lebih baik tentang politik dari usia muda.

"Sistem pendidikan memainkan peranan paling penting dan Kementerian Pendidikan Malaysia perlu mempunyai mata pelajaran yang khusus untuk politik untuk diajar di sekolah,” katanya.

Kata Aaliyah, subjek tersebut juga tidak boleh terlalu berat bagi mengelakkan pelajar merasa terbeban atau menganggap politik sebagai terlalu rumit.

"Belia perlu dididik tentang politik kerana kesedaran dan pengetahuan mereka dalam bidang ini adalah kunci kepada masa depan Malaysia,” katanya.

Pendedahan

Seorang pelajar berusia 20 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Pui Shi pula memerhatikan bahawa belia hari ini semakin berminat untuk mengundi kerana pendedahan berita, isu dan pandangan politik di media sosial.

"Kurangnya minta dengan politik adalah kerana kurangnya pendidikan politik yang betul yang secara tidak langsung mengehadkan mereka daripada menyuarakan pendapat mengenai isu politik atau mengambil bahagian dalam politik,” katanya sambil menambah bahawa bagi sesetengah orang, politik mungkin kelihatan rumit atau dilihat sebagai topik sensitif, itulah sebabnya ramai yang memilih untuk mendiamkan diri mengenainya.

"Jika golongan belia mendapat pendidikan yang sewajarnya seperti falsafah politik atau sesuatu yang mudah seperti membincangkan politik secara terbuka sambil menghormati pendirian orang lain, saya percaya akan ada kemunculan ketara penyertaan belia dalam politik,” katanya.

Pui Shi mengakui akan mengundi pada pilihan raya akan datang kerana ia kewajipan penting dalam pembinaan negara.

Dia juga akan membuat homework dan membaca tentang iklim politik dan isu penting sebelum membuang undi.

Katanya, cara kerajaan menangani krisis Covid-19 telah menghakis kepercayaan orang ramai dan menyedarkan orang ramai tentang kepentingan memilih kerajaan yang betul.

"Berdasarkan pengalaman, saya telah melihat bagaimana beban kewangan dan status sosial memainkan peranan dalam menentukan sama ada kita mahu mengundi, atau sama ada kita mempunyai masa untuk mengambil berat tentang politik ketika kita berhadapan dengan masa sukar,” jelasnya.

Bagi Parveenn Balan Kumar, 20, mengundi adalah peluang berharga untuknya mengambil bahagian dalam pemilihan wakil rakyat yang akan mempengaruhi masa depannya.

Parveenn memerhatikan bahawa belia secara amnya berminat dalam politik dengan kebimbangan yang semakin meningkat tentang alam sekitar dan komuniti di sekeliling mereka dan lebih berkemungkinan mengundi jika calon mempertahankan kepercayaan dan nilai masyarakat.

"Belia lebih cenderung untuk mengundi wakil yang lebih muda untuk memimpin, bersuara, dan mengambil tindakan terhadap isu yang membimbangkan belia.

"Belia secara amnya berminat untuk mengundi, tetapi penyertaan mereka boleh dipertingkatkan dengan peningkatan perwakilan ahli politik yang berkebolehan, sebaik-baiknya daripada kumpulan umur mereka,” jelasnya.

Anak muda itu juga percaya lebih ramai belia akan keluar mengundi jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat memastikan keselamatan pengundi dengan mematuhi SOP Covid-19 yang ketat dan menguruskan proses pengundian dengan baik.

"Saya secara peribadi mempunyai pendidikan mengundi yang sangat baik kerana kami mempunyai seorang guru yang berusaha keras untuk mensimulasikan keseluruhan ‘pilihan raya’ untuk kelas kami,” katanya.

Selain itu katanya, kerajaan juga mesti memainkan peranan dengan mempunyai pelbagai sumber dan mesti melakukan lebih banyak kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mempromosikan celik politik.

Kolaborasi Sinar Harian, Sin Chew Daily, The Star dan Astro Awani.