KUALA TERENGGANU - Seorang tukang jahit tidak menyangka kelainan yang dilakukan dalam industri pembuatan keropok dengan menghasilkan keropok lekor bawang ‘menjadi’ apabila makanan popular Terengganu itu laris dijual.
Nur Asiah Daud, 32, dari Kampung Kuala Ibai, di sini berkata, ramai pelanggan memuji keropok lekor yang dihasilkan lebih sedap, kaya dengan rasa bawang dan kekal lembut walaupun dimakan ketika sejuk.
Menurutnya, keropok lekor bawang itu mula dijual pada Jun 2020 ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan harapan suaminya, Mohd Khalid Izzat Mohd Jaffar, 32, yang berkhidmat sebagai jurukimpal tidak perlu bekerja jauh.
"Ibu mertua merupakan pengusaha keropok keping dan saya pula berhasrat membuat keropok lekor. Bagaimanapun, bagi mengelak persaingan, saya berusaha mencari kelainan dan kebetulan ada saudara kami berniaga keropok lekor bawang di Kuantan, Pahang.
"Saya mengolah semula resipinya supaya rasanya boleh diterima penggemar keropok lekor yang sebelum ini sudah biasa dengan keropok lekor asli, keju dan beberapa perisa lain,” katanya ketika ditemui di sini pada Ahad.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, pada peringkat awal, keropok lekor bawang yang dihasilkan daripada isi ikan, sagu dan bawang dijual tidak sampai lima peket sehari selain mendapat respon negatif daripada pelanggan.
Bagaimanapun jelas beliau, kritikan itu tidak membuatnya putus asa sebaliknya bangkit menambah baik resipi keropok lekor keluarannya.
"Saya mengambil serius setiap maklum balas pelanggan dan mengubah resipi keropok lekor supaya rasanya lebih sedap.
"Selepas melalui beberapa olahan, Alhamdulillah keropok lekor bawang saya akhirnya dapat diterima baik oleh pelanggan bukan saja di negeri ini malah seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya.
Selepas hampir dua tahun dalam pasaran, keropok lekor yang dihasilkan Nur Asiah kini mempunyai 100 ejen di seluruh negara dengan jualan sehingga 400 pek sejuk beku setiap hari.
"Selepas ini, saya merancang membuat keropok lekor asli pula kerana ada permintaan daripada pelanggan,” katanya.