Zakat bantu mak nyah mahu berubah

Iklan
Mohd Khariri (tengah) menyampaikan cederahati kepada Mohd Kazim yang turut membantu komuniti transgender untuk mendalami agama Islam.

IPOH - Institusi agama Perak diminta memberi perhatian khusus terhadap aspek bantuan zakat kepada golongan transgender atau mak nyah yang sedia kembali kepada fitrah.

Pengasas Persatuan Kebajikan Darul Modahish, Mohd Khariri Mohamad Ramli berkata, golongan itu dikategorikan sebagai asnaf yang disebut ar riqab kerana sedang berjihad menjadi yang lebih baik.

Iklan
Iklan

Menurutnya, peruntukkan zakat itu sekurang-kurangnya dapat membantu mereka menjalani proses pemulihan dan pembebasan dari kisah silam yang telah dilalui.

"Setiap negeri wajar mencontohi Selangor yang menyediakan zakat kepada komuniti transgender yang berusaha mendekati Islam dan ALLAH SWT.

Iklan

"Ada ahli yang berjimat dan menyimpan duit zakat yang diterimanya untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan di negeri asalnya dan terbukti dia berjaya. Inilah contoh sokongan yang diperlukan kami untuk membina kehidupan baharu," katanya kepada Sinar Harian di sini.

Beliau ditemui pada Majlis Penyampaian Baju Jubah oleh penceramah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias di Pusat Pendidikan Al-Baraqah, Manjoi pada Ahad.

Mohd Khariri

Iklan

Jelasnya, masalah diskriminasi dan sukar mendapat pekerjaan yang dihadapi mak nyah menyebabkan mereka terjebak dengan kancah tidak sihat untuk menyara kehidupan.

"Kebanyakan kami tiada pendidikan tinggi menyebabkan sukar mendapatkan pekerjaan hingga memilih jalan salah untuk mendapatkan wang segera.

"Justeru itu, kami menubuh team jana ekonomi dengan menghasilkan pelbagai kuih, ikan pekasam, krim selulit dan produk lain demi membantu rakan-rakan yang tiada pendapatan tetap dan menyelamatkan mereka dari terjebak dalam kancah maksiat," katanya.

Mohd Khariri turut menyarankan usahawan atau syarikat korporat tampil membantu komuniti transgender ini.

"Peranan mereka penting dalam menjayakan program yang memberi impak positif kepada kumpulan mak nyah agar terus berjaya selain dapat mengubah persepsi orang ramai supaya tidak memandang serong akan keupayaan kami.

"Sikap diskriminasi keistimewaan kami perlu dikikis dari jiwa masyarakat. Kami memerlukan semangat positif daripada orang sekeliling sebagai pendorong untuk menjadi lebih baik," katanya.

Katanya, pelbagai rancangan telah disusun antaranya menyertai kelas ngaji sepanjang Ramadan bersama Al-Baraqah.

"Kita mempunyai 30 ahli persatuan sekitar Perak meliputi usia 30-an hingga veteran yang berusaha mendalami agama Islam.

Ahli Persatuan Kebajikan Darul Modahish bergambar bersama Mohd Kazim yang telah membantu golongan mak nyah untuk mendalami ilmu agama menerusi pembelajaran di Pusat Pendidikan Al-Baraqah.

"Bagi menjayakan program pemulihan, suntikan dana amat diperlukan dan sekiranya ada pihak yang ingin membantu boleh terus berhubung dengan persatuan di talian 014-2556719," katanya.