ISKANDAR PUTERI - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad bersedia membawa perubahan kemajuan kepada Johor seandainya dipilih sebagai 'poster boy' pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Menteri Besar Johor itu berkata, perkara itu antara komitmen beliau terhadap rakyat negeri itu sekiranya BN dipilih menubuhkan kerajaan negeri selepas 12 Mac depan.
Menurutnya, pada masa sama BN juga sedia mengembalikan semula, skim kuota menegak kerajaan (KMK) bagi memberikan peluang perumahan kepada semua masyarakat jika menang pada PRN Johor.
"Kalau BN menang esok (PRN Johor), KMK ini perlu BN kembalikan semula kepada semua masyarakat kerana itu perkara paling penting untuk beri peluang perumahan kepada semua masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Briged MIC Johor Stadium Tertutup Educity, di sini pada petang Ahad.
Hadir sama Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan; Bendahari BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Pengerusi MIC Johor, R.Vidyananthan; Ketua Wanita MIC, Datuk Mohana Muniandy dan Ketua Pemuda MIC, K Raven Kumar.
Sementara itu, Hasni berkata, terma pengundi muda seharusnya diubah kepada pengundi baharu bagi membezakan dengan parti Muda.
"Kalau kita menghadapi pengundi automatik ini, saya harap tidak ada lagi hari ini kita mengatakan pengundi muda.
" Penggunaan terma pengundi muda perlu diubah kepada pengundi baharu, kerana saya tidak mahu terma itu dikaitkan dengan Muda (Parti Ikatan Demokratik Malaysia)," katanya.