[VIDEO] Air surut, Terminal Feri Kuala Perlis lengang

Iklan
Terminal Feri Kuala Perlis lengang tanpa kehadiran penumpang disebabkan penutupan terminal susulan alur perairan yang surut. (Gambar kecil) Zainuddin, Muhamad Arif dan Roslan.

KUALA PERLIS - Terminal Feri Kuala Perlis lengang tanpa kehadiran penumpang disebabkan penutupannya susulan alur perairan yang surut ke bawah paras 1.6 meter.

Fenomena air laut surut menyebabkan semua perjalanan feri Langkawi ke Kuala Perlis terpaksa dibatalkan bermula Khamis hingga Ahad.

Iklan
Iklan

Orang ramai masih boleh menggunakan laluan Langkawi-Kuala Kedah untuk ke pulau peranginan itu.

Tinjauan Sinar Harian mendapati terminal yang sebelum ini sibuk dengan pelbagai aktiviti dan sesak dengan pelancong sepi sejak empat hari lalu.

Iklan

Penduduk, Zainuddin Ismail, 54, ketika ditemui berharap kejadian seumpama tidak berulang kerana menjejaskan banyak pihak.

"Aktiviti suram apabila tiada penumpang gunakan jeti menyebabkan pendapatan peniaga di sini terjejas.

Keadaan selut dan air cetek jelas kelihatan di sepanjang perairan jeti Kuala Perlis.

Iklan

"Fenomena air surut berlarutan beberapa hari sebelum ini tidak pernah berlaku, inilah kali pertama sehingga terminal terpaksa ditutup selama empat hari,” katanya yang berniaga makanan lebih 20 tahun di Terminal Feri Kuala Perlis.

Muhamad Arif Amizan, 30, berkata, ramai penumpang mengadu berdepan kesukaran dan menyebabkan urusan seharian tergendala apabila perjalanan perkhidmatan feri dibatalkan.

"Kebiasaan air pasang surut dalam sehari, kali ini berlarutan empat hari.

Sebelum ini jika air surut sekurang-kurangnya terdapat satu perjalanan feri tetapi belum pernah ditutup sepenuhnya sehingga beberapa hari.

Ada yang merungut sebab selesai urusan di tanah besar, mereka mahu pulang ke Langkawi pada petang namun tergendala,” katanya.

Pegawai Operasi Ferry Line Ventures Kuala Perlis, Roslan Abd Ghani Seman memberitahu, fenomena air surut di terminal bermula sejak operasi feri dihentikan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Menurutnya, sejak itu air dari Pulau Ketam membawa lumpur dan sampah-sarap menimbun sehingga ke pelabuhan.

"Lama-kelamaan ia berkumpul dan sedikit sebanyak jejaskan kedalaman air di kawasan sekitar.

"Tindakan hentikan operasi feri bermula Khamis hingga Ahad perlu kerana ketika itu keadaan air surut di bawah 1.6 meter dan membahayakan penumpang termasuk feri.

Kita susun jadual perjalanan feri berpandukan kepada jadual air pasang surut sebelum diluluskan Jabatan Laut untuk beroperasi,” katanya.

Roslan berkata, pembukaan semula perjalanan feri Kuala Perlis-Langkawi bermula Isnin dengan satu perjalanan pada tengah hari dan kekerapan akan ditambah mengikut pasang surut alur.

"Kita jangkakan pada Mac akan berlaku situasi sama selama dua hari namun sekiranya aktiviti pengorekan yang dilakukan sekarang dapat mendalamkan pelabuhan untuk feri merapat, ia dibenarkan beroperasi,” katanya.

Aktiviti pengerukan di lembangan jeti sedang giat dijalankan.

Pada Isnin, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) melalui agensinya, Jabatan Laut Malaysia (JLM) telah mengambil langkah serta-merta melantik kontraktor melalui perolehan darurat untuk tujuan pengerukan di lembangan jeti bagi mengatasi masalah tersebut.

Kerja-kerja pengerukan tersebut telah bermula pada 6 Februari dan akan berakhir pada 20 Februari depan.

"Aktiviti pengerukan itu bermula di alur atau laluan bagi membolehkan feri merapat ke pelabuhan.

Untuk jangka panjang, peruntukan besar melibatkan kawasan lebih luas disalurkan bermula April bermula dari jeti Kuala Perlis hingga ke laluan keluar masuk feri,” katanya

Kerap berlaku, bukan fenomena luar biasa

Ramai beranggapan air surut selama beberapa hari di Kuala Perlis adalah fenomena luar biasa namun ia kerap berlaku sejak tiga tahun lalu.

Roslan berkata, situasi tersebut semakin kerap berlaku dan keadaan meruncing disebabkan oleh jadual air pasang surut setiap hari.

"Sebelum ini, kalau berlaku pun hanya satu atau dua hari air cetek dalam sebulan dan tidak dapat dilalui feri.

Antara September hingga Januari terdapat satu atau dua perjalanan feri dalam sehari akibat air pasang surut, namun dalam Februari air cetek hingga feri tak dapat merapat ke pelabuhan,” katanya.

Roslan memberitahu, operasi feri berbeza dengan operasi feri kargo roll-on/roll-off (Roro) berdasarkan aspek kedalaman air di pelabuhan, reka bentuk feri dan air pasang surut.

"Ada yang pertikai kenapa feri tak dapat beroperasi, Roro dan kargo boleh.

Bezanya adalah reka bentuk antaranya bahagian bawah feri penumpang tajam manakala Roro mendatar.

"Enjin Roro terletak di belakang dan boleh merapat gunakan bahagian depan untuk mara ke pelabuhan, kedalaman air di pelabuhan itu pula lebih dalam berbanding pelabuhan jeti penumpang berlabuh.

Disebabkan itu, pelabuhan tujuh dan lapan akan digunakan terlebih dahulu kerana hampir dengan pelabuhan Roro,” katanya.

Mengulas cadangan membina pelantar hadapan penumpang hingga ke laut, katanya, perkara itu pernah dibincangkan namun tidak pasti sama ada ia diluluskan atau kerajaan mempunyai perancangan lain.

Bukan petanda tsunami

Fenomena air surut beberapa hari yang melanda perairan Kuala Perlis bukan petanda akan berlaku tsunami.

Pengarah Meteorologi Kedah, Muhammad Khalil Ab Aziz berkata, tsunami hanya berlaku sekiranya berlaku gempa bumi kuat di dasar laut, tanah runtuh yang besar di dalam laut atau jatuhan asteroid/meteor ke dalam laut.

Menurutnya, faktor lain kebarangkalian tsunami termasuk letusan gunung berapi dalam laut, seperti berlaku di Tonga baru-baru ini.

"Kejadian air surut tersebut tiada kaitan dengan kehadiran tsunami, ia adalah perubahan biasa air laut pasang surut dan masyarakat tidak perlu bimbang,” katanya.

Pada 2 Februari lalu, seramai 423 penumpang terkandas selepas feri terakhir perjalanan ke Kuala Perlis yang dijadualkan berlepas pada 2 petang dari Terminal Feri Penumpang Kuah mengalami kerosakan.

Ia berikutan feri dari Langkawi tidak dapat belayar mengikut jadual ditetapkan disebabkan air alur pelayaran di Terminal Kuala Perlis surut di bawah paras 1.6 meter.

Keadaan itu menyebabkan feri hanya boleh merapat dan belayar apabila air pasang sekali gus menyebabkan kelewatan ketibaan feri dan kesesakan di Terminal Feri Penumpang Kuah, Langkawi seperti tular.

Bagaimanapun, kesemua penumpang selamat tiba di Terminal Feri Penumpang Kuala Perlis sekitar 11 malam pada Rabu.