GENEVA - Penduduk Switzerland mengundi pada Ahad untuk menyokong undang-undang tembakau sekali gus mengharamkan hampir semua pengiklanan produk berbahaya yang dihasilkan daripada tumbuhan itu.
Hampir 57 peratus pengundi dan 16 daripada 26 wilayah di Switzerland menyokong larangan hampir kesemua iklan tembakau termasuk rokok.
"Kami sangat gembira. Orang ramai memahami bahawa kesihatan lebih penting daripada kepentingan ekonomi," kata Stefanie de Borba dari Liga Switzerland Menentang kanser kepada AFP.
Ketika ini, beberapa syarikat tembakau terbesar di dunia beribu pejabat di negara ini dan ia dipercayai menjadi punca Switzerland jauh di belakang negara-negara yang paling kaya dalam menyekat pengiklanan tembakau.
Syarikat tembakau terbesar di dunia, Philip Morris International (PMI), British American Tobacco dan Japan Tobacco beribu pejabat di Switzerland.
Industri tembakau menyumbang kira-kira enam bilion franc Swiss (RM27.17 bilion) kepada ekonomi negara berkenaan pada setiap tahun iaitu satu peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar Switzerland selain menyumbang kira-kira 11,500 pekerjaan.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Switzerland, Alain Berset menegaskan kepada wartawan bahawa ia mungkin mengambil masa untuk larangan itu dikuatkuasakan.
Terdapat kira-kira 9,500 kematian yang berkaitan dengan tembakau berlaku pada setiap tahun di negara tersebut. - Agensi