Rahadiazli tekad rebut posisi penjaga gol utama TFC

Iklan
Rahadiazli berharap terus diberi kepercayaan membarisi kesebelasan utama TFC dalam saingan Liga M musim ini. - Foto TFC

SETELAH berehat panjang akibat kecederaan, penjaga gol Terengganu FC (TFC), Rahadiazli Rahalim berharap agar terus diberi kepercayaan membarisi kesebelasan utama.

Meskipun berhadapan saingan sengit daripada dua lagi rakan sepasukan, Sharmiza Yusoff dan Suhaimi Hussin, dia berkata, hal itu tidak langsung melemahkan semangatnya untuk memberi yang terbaik bagi merebut tempat selaku penjaga gol utama skuad berkenaan.

Iklan
Iklan

Rahadiazli yang hanya sempat beraksi dalam lima perlawanan Liga Super musim lalu selepas mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL), kini kembali cergas dan optimis berada pada tahap terbaik untuk mengawal gawang skuad Penyu pada aksi Liga Super yang bakal bermula 5 Mac ini.

"Memang sangat kecewa kerana kecederaan itu juga buatkan saya terlepas peluang beraksi bersama pasukan negara, tetapi Insya-Allah saya akan tebus balik tahun ini dengan kerja kuat," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Iklan

Sementara itu, Penolong Ketua Jurulatih TFC, Hairuddin Omar berkata, persaingan merebut posisi penjaga gol utama masih terbuka dan diakuinya agak sengit.

Menurutnya, ketiga-tiga pemain berkenaan menunjukkan prestasi yang baik pada sesi latihan dan perlawanan pramusim yang menjadi pentas menguji keserasian dan kecergasan pemain.

Iklan

"Rahadiazli nampaknya sudah dapat kembali rentak dan prestasinya yang sebenar selepas berehat lama kerana kecederaan.

"Bagaimanapun, penentuan bagi penjaga gol utama akan dilakukan oleh ketua jurulatih, Nafuzi Zain selepas aksi pemanas badan dengan empat pasukan Liga Super di ibu negara," katanya. - Bernama