MANJUNG - Peniaga makanan yang mengacu pisau kepada pegawai penguat kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), bulan lalu dikenakan denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Seri Manjung di sini pada Isnin.
Tang Keng Su, 56, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret A Hafiizh Abu Bakar.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara lapan bulan, jika gagal membayar denda.
Ketika memutuskan perkara itu, Majistret A Hafiizh menasihati tertuduh agar tidak mengulangi perbuatan itu.
"Saya ambil kira tiada rekod lampau, saya bagi denda. Kesalahan begini saya boleh penjarakan kamu sampai dua tahun. Jangan ulangi lagi (kesalahan)," katanya.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didapati bersalah mengadakan ugutan bencana kepada Pegawai Kesihatan Persekitaran, Mohd Amin Aminuddin, 32, dengan mengacukan sebilah pisau.
Perbuatan itu dilakukan bagi maksud hendak mendorong penjawat awam itu supaya melakukan apa-apa perbuatan atau jangan melakukan atau melengahkan melakukan apa-apa perbuatan berhubung dengan perjalanan kerjanya.
Kesalahan itu dilakukan di hadapan gerai bernombor di Looking Good Hawker Centre Kampung Koh, Sitiawan dalam daerah Manjung sekitar jam 9.30 malam pada 25 Januari 2022.
Bagi kesalahan itu, dia dituduh di bawah Seksyen 189 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Nurjihan Jaya.
Semasa prosiding, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar dikenakan hukuman ringan kerana perlu menanggung isteri dan tiga anak yang masih bersekolah selain mempunyai penyakit kencing manis dan jantung.
"Saya menyesal dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu, kuku juga saya sudah potong," katanya.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, pengadu telah membuat pemeriksaan ke gerai tertuduh dan mengeluarkan notis saman atas dua kesalahan semasa mengendalikan gerai makanan iaitu berkuku panjang dan memakai cincin.
Apabila diminta menurunkan tandatangan ke atas notis saman itu, tertuduh marah dan mengeluarkan kata berbaur ugutan sambil mengacukan pisau pemotong terhadap pengadu.
Pengadu yang takut dengan ugutan tersebut bertindak membuat laporan polis.