KUALA LUMPUR - Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia diunjurkan berkembang dengan mencatatkan peningkatan semula sebanyak tiga mata peratusan kepada 6.1 peratus tahun ke tahun pada 2022.
Menurut Public Investment Bank Bhd, unjuran itu akan dipacu oleh keadaan luaran yang menggalakkan dengan pembukaan semula ekonomi sepenuhnya oleh ekonomi utama memberikan rangsangan tambahan kepada momentum pertumbuhan.
Trajektori pertumbuhan juga akan didorong oleh impak lambat daripada perbelanjaan rangsangan fiskal yang besar, disokong oleh persekitaran kadar faedah yang masih akomodatif, jelasnya menerusi nota penyelidikan pada Isnin.
Bank pelaburan itu menambah, dorongan kuat juga diperoleh daripada keputusan berani untuk membuka semula sepenuhnya sempadan antarabangsa, yang akan menjadi faktor penting dalam usaha merancakkan kembali sektor pelancongan yang telah menanggung beban akibat krisis kesihatan sejak dua tahun lalu.
Bagaimanapun, unjuran itu boleh diganggu oleh kemunculan varian Covid-19 yang lebih mudah berjangkit dan mengakibatkan kehilangan produktiviti dan output.
"Cabaran yang berterusan dalam sektor pembuatan seperti kekurangan bahan mentah dan buruh juga boleh menjejaskan pengeluaran,” menurut bank pelaburan itu.
Ia menjelaskan prospek ekonomi dijangka bertambah cerah memandangkan pengurusan ke atas Covid-19 yang lebih baik dan liputan vaksinasi melebihi 90 peratus daripada populasi dewasa.
Mengenai dasar monetari, Public Investment Bank menjangkakan normalisasi kadar faedah yang menjadi penanda aras hanya boleh disaksikan pada separuh kedua 2022, dengan kadar dasar semalaman (OPR) kemungkinan dilaraskan sebanyak 50 mata asas kepada 2.25 peratus.
Indeks harga pengguna diunjurkan kekal stabil pada 2.4 peratus tahun ini, disokong oleh pembukaan semula ekonomi sepenuhnya yang akan mendorong pekerjaan dan gaji, seterusnya, permintaan untuk barangan dan perkhidmatan.
"Faktor tolakan kos seperti harga petrol selain kekurangan bahan mentah dan gangguan rantaian bekalan yang berpanjangan boleh menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan penting dinaikkan,” jelasnya.
Ia menambah, cabaran Covid-19 yang semakin reda dijangka menyokong peningkatan kedudukan imbangan pembayaran kerana sentimen juga akan ditambah baik susulan pengurusan situasi Covid-19 yang lebih kemas.
Sementara itu, penyelidikan CGS-CIMB Securities mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi 2022 pada 5.6 peratus tahun ke tahun, dengan pertumbuhan suku pertama pada 5.1 peratus
Akaun semasa Malaysia juga diunjurkan mencatatkan lebihan sebanyak 4.9 peratus daripada KDNK pada suku pertama 2022 dan 3.2 peratus bagi setahun penuh.
Ini akan dipacu oleh lebihan barangan yang tinggi berterusan susulan lonjakan harga komoditi dan permintaan luaran yang semakin meningkat, serta disokong oleh peningkatan semula perbelanjaan perjalanan memandangkan sempadan dibuka semula, jelasnya.
Firma pembrokeran itu juga menjelaskan usaha pemulihan selepas banjir juga boleh merangsangkan pertumbuhan pelaburan pada suku pertama tahun ini.
Senada dengan Public Investment Bank, CGS-CIMB turut mengekalkan bahawa bank pusat dijangka menaikkan OPR sebanyak dua kali pada separuh kedua 2022 dengan kenaikan 25 mata asas setiap kalinya. - Bernama