SHAH ALAM - Laporan Banci Penduduk dan Perumahan 2020 (Banci Malaysia 2020) oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan jumlah ibu tunggal di negara ini hampir mencecah 1 juta orang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ia menyaksikan jumlah ibu tunggal meningkat berbanding tahun 2010.
"Kini terdapat seramai 910,091 orang ibu tunggal di negara ini.
"Ia bersamaan dengan 8.3 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk di negara ini," katanya pada ketika sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Laporan Banci Malaysia 2020 di Dewan Canselor Management Science University di sini pada Isnin.
Pelancaran laporan sebelum itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan turut dihadiri Ketua Perangkawan merangkap Pesuruhjaya Banci Penduduk dan Perumahan 2020, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.
Mengulas lanjut, Mustapa berkata, satu perkara yang menarik ialah apabila didapati daripada keseluruhan 32.4 juta penduduk di negara ini berdasarkan bancian hanya 2.7 juta adalah warga asing.
"Mungkin ada pertikaian tentang jumlah ini, tetapi inilah angka yang sebenarnya.
"Ini ada kaitan dengan wabak Covid-19 juga apabila ada beberapa ribu warga asing telah balik ke negara masing-masing,” katanya.
Mustapa berkata, bancian juga mendapati bilangan rakyat Malaysia berusia 60 tahun ke atas ialah 10.3 peratus, manakala 6.8 peratus berusia 65 tahun ke atas.
Menurutnya, angka itu adalah satu penemuan yang penting dalam konteks negara Malaysia menjadi negara yang menua.
"Mengikut jangkaan menjelang tahun 2030, bilangan ini akan bertambah apabila warga emas berusia 65 tahun ke atas akan mencecah 4.1 juta atau lebih 10.7 peratus.
"Ini perkara yang penting bila kita menggubal dasar. Maknanya kita kena bersiap sedia kepada situasi Malaysia sebagai negara menua.
"Ini fenomena di seluruh dunia dan apa yang perlu diambil kira dari segi pelaburan kerajaan dalam aspek kesihatan, pendidikan dan perumahan umpamanya (berdasarkan populasi rakyat)," katanya.
Mustapa sebelum itu ketika berucap pada majlis perasmian pelancaran laporan berkenaan berkata, Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 adalah banci yang keenam dilaksanakan sejak penubuhan Malaysia pada tahun 1963.
"Banci kali ini dilaksanakan dalam keadaan yang amat mencabar akibat penularan pandemik Covid-19. Sejarah tercipta apabila operasi pembancian negara telah berlangsung selama 482 hari iaitu mulai 7 Julai 2020 sehingga 31 Oktober 2021.
"Pembancian dalam beberapa fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara merupakan satu cabaran besar kepada pasukan pembancian di seluruh negara.
"Cabaran ini telah diharungi dengan pelbagai pendekatan proaktif seperti mempergiat dan memaksimumkan pengguna kaedah atas talian e-Census, Computer Aided Personal Interview (CAPI) dan Computer Aided Telephone Interview (CATI)," katanya.