'Polis' samun warga emas

Iklan
Wajah dua suspek yang ditahan ekoran menyamar sebagai anggota polis.

KLANG - Tindakan dua lelaki yang menyamar sebagai anggota polis untuk menyamun seorang warga emas gagal apabila kedua-dua mereka dicekup pihak berkuasa di Taman Sentosa, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, suspek berusia 25 dan 29 tahun itu dicekup anggota polis yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan terbabit.

Iklan
Iklan

"Sewaktu kejadian itu, seorang suspek menyamar sebagai anggota polis dan memberitahu mangsa berusia 65 tahun itu untuk membawanya ke Sunway.

"Mangsa dibawa dari Kota Kemuning sehingga ke Taman Sentosa. Sewaktu dalam perjalanan suspek memberitahu mangsa bahawa dia akan dibawa ke Balai Polis Sentosa. Namun sebaliknya, mangsa dibawa ke satu lorong di Taman Sentosa," katanya.

Iklan

Menurutnya, ketika di lorong berkenaan, suspek terbabit mengugut mangsa supaya menyerahkan semua barang berharga miliknya.

"Mangsa yang cemas kemudian melawan dan secara kebetulan insiden itu disedari sepasukan anggota polis yang sedang melakukan rondaan di kawasan terbabit.

Iklan

"Anggota kemudiannya menahan dan membawa suspek ke balai untuk siasatan lanjut dan hasil pemeriksaan rekod mendapati kedua-dua mereka mempunyai 17 rekod jenayah lampau berkaitan kekerasan, pemerasan, ugutan, pecah rumah, samun dan berkaitan dadah,"katanya.

Shamsul Amar berkata, buat masa ini, pihaknya menahan kedua-dua suspek dan siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 385 dan 170 Kanun Keseksaan.