SHAH ALAM - Caj 20 sen dikenakan ke atas setiap beg plastik yang dilaksanakan oleh Kerajaan Selangor sebagai kempen mengurangkan bahan tersebut memadai buat masa ini.
Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, sebanyak RM6.4 juta kutipan caj beg plastik dibuat pihak berkenaan pada tahun lalu.
Katanya, jumlah tersebut didapati berkurangan sebanyak RM200,000 berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM6.6 juta.
"Ia petanda yang baik kerana kita sasarkan jumlah kutipan berkurangan, jadi saya rasa memadai caj 20 sen untuk beg plastik buat masa ini kerana masih boleh kutip sekitar RM6 juta.
"Saya rasa tidak perlu bebankan pengguna kerana kita fokus menggunakan duit kutipan tersebut untuk mendidik mereka melalui kempen mengurangkan penggunaan beg plastik."
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Geran Kecil Alam Sekitar (GKAS) dan Teknologi Hijau Negeri (GKTH) Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, Loy Sian berkata, akan melaksanakan sebuah kempen untuk mendidik masyarakat mengurangkan penggunaan beg plastik.
Menurutnya, kempen tersebut akan dijalankan secara besar-besaran dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak media menggunakan hasil kutipan caj beg plastik tersebut.
Pada September tahun lalu, Kerajaan Selangor pernah mengusulkan untuk mengkaji semula caj beg plastik yang dikenakan di negeri tersebut jika jumlah kutipan caj terus meningkat.
Loy Sian berkata, peningkatan tersebut dibuat sebagai penegasan kerajaan negeri terhadap pengurangan penggunaan beg plastik dalam kalangan di Selangor.