KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu akan meneruskan penganjuran program Madinah Ramadan pada tahun ini dengan memilih dataran jambatan angkat atau lebih dikenali sebagai Drawbridge sebagai lokasi baharu.
Bagaimanapun Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu, Mohd Nor Hamzah berkata, program tersebut diadakan dalam skala lebih kecil mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat berikutan penularan Covid-19 melibatkan varian Omicron.
"Program Madinah Ramadan tahun ini kita tidak buat solat tarawih, hanya pasang kanopi untuk solat Maghrib dan tazkirah sebelum waktu solat sahaja berikutan keadaan semasa Covid-19 yang semakin meningkat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Program Halaqah Darul Iman (HaDI) yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Dewan Besar Wisma Darul Iman di sini pada Isnin.
Program Madinah Ramadan diadakan sejak tahun 2018 di Dataran Shahbandar dan Dataran Batu Burok dengan pelbagai aktiviti seperti berbuka puasa, solat Maghrib dan solat tarawih berjemaah serta tazkirah agama.
Selain itu menurut Mohd Nor, kerajaan negeri juga membenarkan jemaah menunaikan solat tarawih di masjid dan surau kawasan masing-masing sepanjang Ramadan mengikut SOP ditetapkan pihak berkuasa.
Jelas beliau, pelaksanaan aktiviti lain bagi mengimarahkan bulan puasa seperti agihan bubur lambuk dan tadarus al-Quran juga tiada sekatan.
"Bagaimanapun, kita berharap masyarakat terus mematuhi SOP dan mengamalkan saranan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya kita bebas dari jangkitan Covid-19," katanya.