Selangor sasar 33.3 peratus hutan simpan kekal menjelang 2030

Iklan
Loy Sian (empat dari kiri) bersama wakil penerima GKAS dan GKTH Selangor di SSAAS, Shah Alam pada Isnin.

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menyasarkan untuk meningkatkan peratusan hutan simpan kekal di negeri tersebut daripada 32.5 peratus kepada 33.3 peratus menjelang tahun 2030.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, pihaknya bermatlamat untuk meningkatkan keluasan hutan simpan kekal kepada satu pertiga negeri tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, beberapa hutan berpotensi sedang dicari untuk digazetkan sebagai hutan simpan kekal.

"Kita akan usahakan untuk lihat mana-mana hutan yang berpotensi untuk ditukarkan menjadi hutan simpan kekal.

Iklan

"Kita harap pada tahun 2030, peratusan hutan simpan kekal akan meningkat daripada 32.5 kepada 33.3 peratus, jadi beri kita sedikit masa kerana proses menggazetkan hutan simpan perlu melalui proses yang rumit.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Geran Kecil Alam Sekitar (GKAS) dan Teknologi Hijau Negeri (GKTH) Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), di sini pada Isnin.

Iklan

Pada Isnin, sebanyak 128 agensi dan persatuan menerima Geran Kecil Alam Sekitar (GKAS) dan Teknologi Hijau Negeri (GKTH) Selangor yang dibuka sejak 1 Disember tahun lalu dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.3 juta.

Katanya, geran tersebut terbahagi kepada dua kategori, iaitu Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, yang mana masing-masing berjumlah RM10,000 dan RM20,000 berdasarkan permohonan daripada agensi dan persatuan yang memohon.

"Permohonan kali ini adalah paling tinggi sejak diperkenalkan pada 2018, sebab itu kita tidak boleh beri kepada semua (pemohon) kerana bajet kita hanya RM1.3 juta sahaja, berbanding RM1.4 juta pada tahun lalu.

"Geran tersebut akan digunakan untuk program berimpak tinggi berkaitan kelestarian dan pemulihan alam sekitar seperti pembersihan pantai serta sungai, seminar penjagaan alam sekitar, projek kebun komuniti atau penanaman pokok," katanya.