SHAH ALAM - Kerajaan Selangor mengkaji cadangan untuk menambah aset dan peralatan menyelamat bagi kegunaan kecemasan dan bencana.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Negeri Selangor, Ng Sze Han berkata, tambahan aset tersebut merupakan satu keperluan selain menambah baik koordinasi antara agensi.
Menurutnya, setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) dicadangkan untuk menambah aset masing-masing bagi tujuan tersebut.
"Tambahan aset penting seperti bot di kawasan berisiko tinggi termasuk Shah Alam.
"Setiap PBT digalakkan untuk menambah aset tersebut dan apabila ada keperluan kemudahan boleh dikongsi bersama supaya fungsinya lebih efektif," katanya mengulas keperluan tambahan aset bagi kegunaan waktu bencana seperti insiden banjir berlaku pada 18 Disember tahun lepas.
Beliau ditemui pada sidang akhbar pengumuman garis panduan penubuhan Confinement Centre Selangor di Hotel Mercure di sini pada Isnin.
Pada perkembangan sama, beliau memaklumkan operasi pembersihan pasca banjir masih diteruskan bagi fasa dua melibatkan kawasan yang tidak boleh dimasuki jentera berat.
Jelasnya, KDEB Waste Management dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sedang giat melaksanakan kerja-kerja pembersihan berkenaan di Taman Sri Muda melibatkan kawasan lorong belakang premis dan cucian longkang tersumbat.
"Operasi ini sedikit rumit kerana tidak boleh membawa masuk jentera dan memerlukan tenaga kerja yang ramai.
" Usaha ini giat dilaksanakan dan kita sasarkan operasi ini dapat diselesaikan selewat-lewatnya Mac ini," katanya.