PRN Johor: Agihan tiga kerusi PKR kepada Muda belum muktamad

Iklan
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman - Foto Bernama

JOHOR BAHRU - Agihan tiga kerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor masih belum dimuktamadkan.

Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, perbincangan bersama PKR berhubung perkara itu akan diteruskan secara tertutup sebelum sebelum sebarang kenyataan dikeluarkan.

Iklan
Iklan

"Perbincangan kerusi PRN Johor antara PKR dan Muda dibuat secara tertutup, sulit dan masih belum dimuktamadkan.

"Jika perbincangan itu tidak mencapai kata sepakat dan menemui jalan buntu, Muda akan maklumkan media tentangnya.

Iklan

"Kita sudah ada beberapa kerusi untuk ditandingi dari rakan pembangkang dan mencuba sebaik mungkin untuk kurangkan pertindihan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas pelancaran Jentera Pakatan Harapan (PH) dan Muda di sebuah hotel di sini pada Isnin.

Iklan

Hadir sama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Pada 9 Februari lalu, PKR Johor menawarkan tiga kerusi miliknya kepada Muda untuk bertanding dalam PRN Johor.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, rundingan sedang dilakukan dan masih menanti jawapan daripada pihak Muda.

Seterusnya, Muda diperuntukkan enam kerusi, hasil rundingan bersama antara parti itu, Amanah dan DAP Johor.

Dalam kenyataan bersama antara Amanah, DAP dan Muda, keputusan itu berjaya dicapai selepas beberapa siri rundingan untuk pengagihan kerusi bagi menghadapi PRN Johor.

Kesepakatan antara tiga parti membawa keputusan dengan Muda diperuntukkan enam kerusi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.