JOHOR BAHRU - Pakatan Harapan (PH) tidak teragak-agak menarik balik Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik bersama kerajaan sekiranya Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti tidak diluluskan pada sesi Parlimen Mac depan.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekiranya RUU Anti Lompat Parti itu dipersetujui untuk diluluskan pada sesi Parlimen itu, PH bersedia berunding untuk meneruskan MoU berkenaan.
"Untuk waktu ini, kita tidak boleh harapkan apa- apa selebihnya dari kerajaan Persekutuan. Benar ada MoU, yang menetapkan beberapa peruntukan tambahan RM45 bilion untuk selesaikan masalah Covid-19, RM10 bilion masalah kemiskinan dan undi18 yang ditetapkan.
"RUU Anti Lompat Parti mesti diluluskan sebelum akhir sesi Parlimen pada Mac, sekiranya tidak diluluskan maka MoU itu kita tolak. Kalau setuju, rundingan boleh diteruskan, kalau tidak, MoU itu terbatal secara sendiri.
"RUU ini mesti kita sampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa tidak mungkin MoU itu dapat bertahan," katanya pada Majlis Pelancaran Jentera PH dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di sebuah hotel di sini pada Isnin.
MoU Transformasi dan Kestabilan Politik ditandatangani antara kerajaan dan PH pada 13 September 2021 antara lain bersetuju melakukan transformasi melibatkan pelan pemulihan Covid-19, pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia MA63 dan penubuhan Jawatankuasa Pemandu.
Sementara itu, Naib Presiden Majlis Presiden PH, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, sokongan kepada Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri akan ditarik jika RUU Anti Lompat Parti tidak dibawa dan diluluskan pada sesi Parlimen Mac depan.
"Saya merupakan anggota Jawatankuasa Penyelaras MoU PH dan kerajaan. Memang itu ada perkara asas yang merupakan aspek terbesar dalam MoU dan sekiranya pada sesi Parlimen Mac ini tidak dibawa dan diluluskan PH akan tarik sokongan kepada Perdana Menteri," katanya.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan kerajaan Persekutuan tumbang disebabkan PH menarik sokongan terhadap MoU tersebut, Ahli Parlimen Pulai itu membayangkan kemungkinan itu berlaku jika kerajaan tidak membawa RUU Anti Lompat Parti pada sesi Parlimen kelak.