PKR umum tujuh calon PRN Johor untuk zon utara

Iklan
Anwar bersama-sama tujuh calon PKR bagi zon utara yang akan bertanding pada PRN Johor ketika majlis pengumuman di Pelican Hotel, Kim's Park Business Centre, Batu Pahat, pada malam Isnin.
BATU PAHAT - Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan tujuh calon parti itu bagi kawasan zon utara yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

Pengumuman tersebut dilakukan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pelican Hotel, Kim's Park Business Centre di sini pada malam Isnin.

Empat muka baharu ditampilkan PKR iaitu C Subramani bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Buloh Kasap; Yoong Thau (DUN Pemanis); Azmi Masrani (DUN Sri Medan) dan Abdullah Sahid (DUN Sungai Balang).

Sementara bekas Exco Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar kekal mempertahankan kerusi DUN Semerah yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke14 (PRU14).

Md Ysahruddin Kusni juga kekal di kerusi DUN Bukit Naning yang disandangnya manakala Na’im Jusri yang sebelum ini bertanding di Sungai Balang kini bertukar ke DUN Gambir.

Semasa Mohd Khuzzan disebut, terdapat sedikit kekecohan daripada penyokong PKR yang hadir dalam majlis pengumuman itu dipercayai akibat tidak berpuas hati dengan pencalonannya.

Melihat situasi itu, Anwar meminta keputusan tersebut dihormati dan menasihatkan Mohd Khuzzan menyelesaikan isu tersebut secara baik.

"Kita sudah buat keputusan, hormat keputusan. Saya harap Khuzzan ambil iktibar supaya menyantuni sesiapa yang kurang berpuas hati, saya ingat ini perkara biasa,” katanya.

Sementara itu, Mohd Khuzzan ketika ditemui berkata, ini meruapakan kali kedua beliau berhadapan dengan situasi itu sama seperti ketika diumumkan sebagai calon pada PRU14.

"Ini kali kedua (menerima protes), pilihan raya umum lepas juga begini. Tetapi, saya menyerahkan kepada masyarakat dan pemilih untuk memilih. Ini cuma sebahagian sahaja tetapi masih ramai lagi yang menyokong.

"Bagi mereka yang memprotes tadi, saya akan pastikan dapat mengukuhkan semula hubungan sesama anggota parti untuk memastikan kemenangan kerusi DUN Semerah pada PRN akan datang," katanya.

Terdahulu pada sebelah petang, Anwar turut mengumumkan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik sebagai calon di kerusi DUN Layang-Layang dan calon lain untuk zon tengah.

Pada sebelah pagi, Anwar mengumumkan lima calon bagi kawasan zon selatan.