Ada peluang bergelar juara

Iklan
Choong Hann

SKUAD lelaki negara mempunyai potensi cerah menjuarai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 yang akan membuka tirainya di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada Selasa.

Keyakinan itu disuarakan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann selepas melihat ketiadaan beberapa pasukan gergasi.

Iklan
Iklan

Choong Hann optimis skuad lelaki yang dibarisi pemain senior dan muda mampu untuk menggalas misi pada kejohanan kali ini, sekali gus memberi kejuaraan kepada Malaysia.

"Sebenarnya sasaran permulaan kepada pasukan lelaki negara adalah untuk mara sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir.

Iklan

"Namun, selepas pengumuman beberapa pasukan besar menarik diri dengan ketiadaan beberapa pemain ternama, kami menyasarkan untuk bergelar juara.

"Kami bukanlah mahu memandang rendah mana-mana pihak pada kejohanan ini tetapi saya melihat kita ada peluang untuk memenangi kejohanan dengan barisan-barisan pemain yang ada.

Iklan

"Jadi saya percaya pasukan negara tidak akan berdepan masalah untuk memenangi kejohanan edisi kali ini,” katanya.

Skuad lelaki negara menjalani sesi latihan rasmi di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada Ahad. - Foto Bernama

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B bersama Jepun, Singapura dan Kazakhstan menyenaraikan enam pemain perseorangan diketuai Lee Zii Jia selain Ng Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Jun Hao, Lim Chong King dan Kok Jing Hong.

Gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik pula mengetuai cabaran beregu negara selain dua pasangan muda - Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Ketika ditanya mengenai Singapura yang menunjukkan prestasi baik sejak kebelakangan ini, Choong Hann tidak melihat pasukan itu mampu menggugat kemaraan Malaysia.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, barisan pemain lelaki negara tetap diingatkan tidak mengambil mudah cabaran Singapura yang diketuai juara dunia, Loh Kean Yew.

"Singapura ada beberapa pemain handal seperti Kean Yew yang harus diberikan perhatian selain beregu mereka yang menunjukkan prestasi agak baik sejak kebelakangan ini.

"Meskipun Singapura bukanlah ancaman yang besar buat kami, namun kami tidak boleh pandang rendah dengan cabaran yang akan diberikan mereka. Kami tetap perlu berhati-hati,” ujarnya.