Pemandu van 'kantoi' seludup migran

Iklan
Antara warga Myanmar yang ditahan ketika cuba diseludup masuk menggunakan van di KM45 Lebuhraya Utara-Selatan pada Jumaat lepas.

ALOR SETAR - Seorang pemandu van ditahan selepas disyaki menjalankan aktiviti penyeludupan migran di Kilometer 45 Lebuhraya Utara-Selatan, di sini pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, lelaki berusia 38 tahun itu ditahan bersama 19 lelaki warga Myanmar berusia lingkungan 20-an hingga 40-an yang gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan diri yang sah memasuki Malaysia.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kegiatan lelaki itu terbongkar selepas sepasukan polis Balai Bukit Kayu Hitam mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan berhenti di tepi jalan ketika membuat intipan di Jalan PKNK Utama Perindustrian Bukit Kayu Hitam, di sini.

"Dalam operasi lebih kurang jam 10.10 malam itu, kelihatan beberapa orang dipercayai warga asing muncul dari kawasan semak masuk ke dalam van jenis Toyota Hiace berwarna putih dalam keadaan tergesa-gesa.

Iklan

"Van tersebut kemudiannya memecut laju ke arah jalan besar yang menghubungkan Lebuhraya Utara-Selatan menuju ke arah selatan sebelum pasukan serbuan berjaya mengekori dan menahan kenderaan itu,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan pemandu van kini direman selama 28 hari bermula 12 Februari hingga 12 Mac ini di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012.

Iklan

Ahmad Shukri berkata, kesemua suspek warganegara Myanmar turut direman selama 14 hari bermula 12 hingga 26 Februari depan di bawah Seksyen 51(1)(5)(b) Imigresen 1959/63.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).

"Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan boleh dikenakan denda ataupun kedua-duanya sekali,” katanya.

Katanya, warganegara Myanmar yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Imigresen 1959/63 (Akta 155) yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-keduanya sekiranya disabit kesalahan.