Tanah runtuh punca air Sungai Dong Lata Jarum keruh

Iklan
Runtuh tanah di Hutan Simpan Gunung Benom dikatakan menjadi punca air Sungai Dong, Taman Eko-Rimba Lata Jarum keruh. - Foto Facebook JPNP

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Keadaan cuaca hujan di kawasan Ulu Dong dan Hutan Simpan (HS) Gunung Benom, Raub dikatakan menjadi punca berlaku air keruh di Sungai Dong, Taman Eko-Rimba (TER) Lata Jarum di daerah itu.

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menerusi satu kenyataan mengesyaki terdapat insiden tanah runtuh di hulu sungai tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan itu dibuat selepas terdapat aduan dari tangkap layar Facebook milik Razlan Abdrasid berkaitan kekeruhan air di kawasan terbabit.

"JPNP buat semakan awal pada hari ini (Selasa) mendapati air sungai memang berada dalam keadaan keruh sepertimana didakwa, namun ia tiada kaitan dengan sebarang aktiviti pembalakan dan pembukaan tanah berlaku di hulu Sungai Dong tersebut.

Iklan

"Sungguhpun begitu pasukan JPNP akan menjalankan semakan lanjut dan terus memantau perubahan kadar kekeruhan air sungai ini dari masa ke masa," katanya menerusi satu kenyataan di laman Facebook rasmi JPNP pada Selasa.

Pada 28 Disember tahun lalu, JPNP menerima aduan sama dan semakan menggunakan dron mendapati terdapat kesan tanah runtuh di hulu sungai yang berada di HS Gunung Benom.

Iklan

Mengulas isu penutupan TER Lata Jarum, JPNP menjelaskan kerajaan negeri melalui keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMk) telah meluluskan permohonan lanjut tempoh bagi mengurus, menjaga dan menyelenggara sebahagian TER Lata Jarum kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Peruas bermula tahun ini.

Katanya, bagaimanapun JKKK Kampung Peruas mempunyai masalah dalam mematuhi syarat permit penggunaan.

"Kini pihak kami dalam proses melantik operator baharu bagi menguruskan TER Lata Jarum.

"Kawasan ini dijangka akan beroperasi semula pada 1 Mac depan memandangkan sebarang aktiviti rekreasi di dalam Hutan Simpanan Kekal masih belum dibenarkan buat masa ini," menurut kenyataan itu.

Untuk makluman, kawasan Pejabat Pembangunan Hutan Pejabat Hutan Daerah Raub dan Pusat Kecemerlangan Rafflesia High Conservation Value Forest (HCVF) Ulu Dong yang mempunyai populasi Bunga Pakma (Rafflesia) berada di luar kawasan pajakan.