Jangan biarkan syarikat luar monopoli TSV

Iklan
TENGKU IBRAHIM

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri perlu membuat perancangan rapi agar penubuhan Lembah Silika Terengganu (TSV) tidak dikuasai dan dimonopoli syarikat luar sehingga meminggirkan syarikat dan tenaga kerja tempatan.

Tengku Sri Paduka Raja, Tengku Ibrahim Sultan Ismail Nasiruddin Shah berkata, apa yang menjadi kerisauannya adalah hala tuju kerajaan dalam membangunkan industri silika di negeri ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, konsep monopoli tidak harus berlaku bagi memberi peluang kepada rakyat Terengganu merasai hasil nikmat sumber ini, sama ada diberi peluang melabur bagi syarikat-syarikat tempatan dengan cara usaha sama dengan syarikat-syarikat luar, ataupun diberi peluang bekerja di kilang-kilang yang bakal dibuka.

"Saya cadangkan kerajaan mengadakan perbincangan dengan syarikat-syarikat Bumiputera negeri ini untuk mencari jalan cara mana projek lembah silika ini dapat dijayakan.

Iklan

"Satu perkara lagi yang harus ditekankan ialah perjanjian di antara kerajaan dan syarikat-syarikat Bumiputera ini hendaklah diawasi, supaya tenaga pekerja dihadkan kepada kaum Bumiputera, khususnya anak-anak tempatan.

"Kita harus bertegas untuk tidak membenarkan pemain industri atau pelabur dari luar negara dan negeri yang tidak pernah terlibat dalam urusan kemajuan negeri sebelum ini untuk memonopoli pengusahaan industri, sekali gus menutup peluang anak-anak tempatan sama ada untuk melabur atau bekerja di sini,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Projek pembangunan Lembah Silika Terengganu dibuat di atas tapak seluas 4,000 hektar di Jambu Bongkok, Marang yang disasarkan mampu menarik pelaburan mencecah RM13 bilion dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir 2020.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan juga perlu menetapkan satu dasar agar tiada anak tempatan berkebolehan terpinggir dan menyebabkan mereka terpaksa ‘mengemis’ di tanah sendiri untuk mendapatkan hak memajukan negeri ini.

"Keadilan dan kesamarataan buat anak-anak tempatan adalah dituntut bagi membantu mereka untuk sama-sama mencari rezeki, sekali gus menyokong mereka untuk menjadi ‘job creators’ dan bukan semata-mata hidup untuk makan gaji.

"Saya juga cadangkan agar satu dialog bersama-sama pemain industri tempatan yang berminat untuk melabur dan mengusahakan industri silika ini,” katanya.