Kerajaan didesak perkenal dasar tolak diskriminasi pekerja

Iklan
Mohamed Shafie

SHAH ALAM - Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) mendesak kerajaan segera memperkenalkan dasar menolak pelaburan dan perniagaan mendiskriminasi dan menindas pekerja-pekerja Malaysia.

Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, UNI-MLC menyokong gesaan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) pada Isnin supaya kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri mengambil pendirian tegas untuk hanya mengalu-alukan syarikat dan pelaburan asing yang benar-benar berorientasikan rakyat menjalankan perniagaan di Malaysia.

Iklan
Iklan

"UNI-MLC berharap kedua-dua kerajaan negeri dan pusat perlu mempunyai kemahuan politik dan komitmen yang serius dalam membawa masuk pelabur berkualiti dan mereka yang sanggup menjaga kepentingan pekerja tempatan, bukan mengutamakan keuntungan semata-mata.

"Selepas 60 tahun negara merdeka, sudah tiba masa bagi kerajaan mengambil satu pendekatan norma baharu dalam memastikan kepentingan pekerja-pekerja Malaysia menjadi keutamaan dan terpelihara dengan memastikan kepentingan dan kebajikan pekerja dijamin dengan mengutamakan situasi menang-menang.

Iklan

"Bukannya hanya majikan atau pelabur yang menikmati kelebihan satu pihak iaitu keuntungan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohamed Shafie menegaskan, sebagai badan yang mewakili pekerja, kesatuan sekerja sentiasa berusaha mewujudkan persekitaran perhubungan perusahaan yang harmoni sepanjang masa.

Iklan

Katanya, UNI-MLC membuat desakan itu kerana percaya bahawa hanya melalui persekitaran yang harmoni rakyat boleh menikmati suasana yang aman dalam membawa pembangunan dan pertumbuhan tulen dan jitu setiap masa, sekali gus memanfaatkan majikan dan pekerja.

"Kita perlu mengakui di Malaysia juga ada syarikat yang berjiwa besar yang sanggup dan komited menjaga hak pekerja. Contoh terkini, AEON Malaysia dengan sendiri bersetuju menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 baru-baru berkuat kuasa 1 Januari 2022, sedangkan kerajaan pusat mengumumkan dasar itu hanya akan dilaksanakan penghujung tahun ini.

"Oleh itu sudah sampai masanya bagi kedua-dua kerajaan pusat dan setiap kerajaan negeri memperkenalkan dasar sifar toleran kepada penganiayaan pekerja-pekerja di semua peringkat, sama ada rakyat Malaysia mahupun pekerja asing, dengan merangka kerangka perundangan yang lebih konstruktif. Ini termasuklah menyemak semula Tatakelakuan Keharmonian Industri.

Tambah Mohamed Shafie, peruntukan berkaitan dengan jaminan atau sekuriti pekerjaan harus dipastikan sepanjang masa kerana ketidakpastian pekerjaan dan ketakutan akibat pemberhentian kerja dan persaraan, dan buruh paksa yang menjadi perhatian sejak kebelakangan ini, mempunyai pengaruh besar terhadap sikap bekerja dan hubungan industri yang baik.

Malah, ujarnya, jika dibiarkan, ia akan terus menjejaskan reputasi dan nama baik Malaysia di kedua-dua peringkat di dalam negara dan luar negara.

"Kesemua agensi kerajaan di peringkat pusat dan negeri perlu memberi perhatian ke atas perkara ini. Perkara ini perlu dititikberatkan sekiranya kita benar-benar mahu menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi," tegasnya.